Bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo berkata beliau tidak menghadiri siasatan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) kerana menganggap ianya hanya bertujuan politik semata-mata.
"... ia diadakan secara terbuka dan tiada apa-apa tindakan yang boleh diambil ke atas mana-mana individu yang memberi keterangan dalam sesi tersebut," tulis Dr Khir dalam blognya hari ini.
Lebih daripada itu, tambahnya, Selcat tidak mempunyai locus standi untuk mendengar isu sebuah badan bukan kerajaan NGO yang tertakluk di bawah Akta Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Beliau yang juga ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, digantung setahun kerana mengkritik Selcat dan tidak hadir pendengaran tersebut.
"Pergantungan saya dan empat lagi ADUN BN Selangor sudah dijangka dari awal lagi. Inilah bentuk kebebasan bersuara dan keterbukaan yang mereka perjuangkan selama ini," tulisnya lagi.
Dr Mohd Khir berkata, telahannya Selcat bertujuan politik untuk memburukkan orang, nyata benar kerana pendengaran tersebut bukan sahaja membabitkan isu Balkis, malah juga meleret-leret kepada isu-isu lawatan kerjanya yang menurutnya, tiada kena mengena dengan Balkis.
'Belang Pakatan'
"Malahan sebahagian keterangan tersebut bukan sahaja tidak benar, malah beransur memfitnah. Lebih aneh keterangan-keterangan dalam Selcat dilindungi pula oleh imuniti.
Beliau juga mendakwa bahawa pergantungan empat ADUN BN kerana mengkritik Selcat dalam media, menunjukkan belang sebenar Pakatan Rakyat.
Menurutnya, tidak pernah dalam sejarah, ADUN mahupun ahli Parlimen digantung kerana mengkritik undang-undang atau dewan.
"Jika ini dijadikan kes duluan, maka ramailah ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang bakal digantung kerana mengkritik pelbagai undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen termasuk ISA," tambahnya.
Dr Mohd Khir juga menjelaskan bahawa beliau dan lagi ADUN terbabit, menghormati DUN Selangor dan juga Speaker dengan menghadiri "perbicaraan" Jawatankuasa Kebebasan dan Hak DUN berbanding speaker sekarang, Teng Chang Khim yang langsung tidak menghadirinya ketika beliau menjadi ketua pembangkang.
"Untuk rekod YB Teng bukan digantung kerana mengkritik pentadbiran saya atau DUN Selangor tetapi digantung kerana membuang Peraturan DUN ke dalam tong sampah," katanya.
'Rujuk kes Teng'
Namun, katanya, sungguhpun tidak hadir, Teng diberi pilihan meminta meminta maaf atau digantung dan Teng memilih digantung.
"Saya serahkan kepada rakyat untuk menilai apakah mereka benar-benar memperjuangkan kebebasan bersuara dan keterbukaan yang mereka laung-laungkan.
"Saya juga mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang jika keputusan tersebut diluluskan dalam sidang DUN akan datang," katanya.
Namun, kata Dr Mohd Khir, pertimbangan tersebut bukan sahaja dari segi undang-undang tetapi juga dari segi suasana politik sekarang.
"Ramai yang sudah penat membaca kes naik turun mahkamah membabitkan ahli politik. Mungkin tidak sesuai untuk satu lagi kes dibawa ke mahkamah.
"Apatah lagi bagi Pakatan Rakyat mereka hanya menerima keputusan mahkamah jika ia berpihak kepada mereka," tulisnya lagi.
