Kami kebingungan mengapa pengarah Jawi tidak menyemak dengan pegawai-pegawainya sebelum membuat kenyataan itu.Ia mencerminkan seperti tidak ada koordinasi di jabatan berkenaan, kata Presiden PUM Ghani Shamsuddin.
Beliau menegaskan demikian dalam kenyataannya hari ini bagi mengulas laporan akhbar The Star semalam yang memetik Abdullah sebagai menafikan beliau telah menerima dokumen berkenaan daripada PUM.
Ghani menjelaskan, beliau bersama pembantunya Ahmad Tarmizi Sulaiman, Khairul Anwar dan Mohd Fariz Fadhullah telah membuat aduan itu di pejabat Jawi pada jam 10 pagi 25 Januari lalu.
Kami membuat aduan terhadap Farish A Noor atas dakwaan menghina Rasulullah di dalam artikelnya yang disiarkan dalam akhbar The Edge pada 3 Disember 2001, katanya..
Tuntutan tarik balik
Menurut Ghani, mereka telah bertemu dengan pegawai bernama Abd Khawi Che Abd Rahman yang berjawatan sebagai penolong pengarah bahagian penguatkuasa dan pendakwaan Jawi, yang turut mengesahkan menerima aduan PUM itu.
Kami telah menerima surat daripada Jawi pada 29 Januari lalu yang ditandatangani oleh Abd Khawi bagi pihak pengarah (Jawi) memberitahu bahawa aduan itu telah dikemukakan kepada Jabatan Agama Islam Selangor kerana alamat pihak-pihak terbabit adalah di Selangor.
Sejak itu kami tidak menerima sebarang maklumabalas daripada Jawi, katanya.
Ghani menuntut supaya Jawi menarik balik penafiannya itu dan bertindak segera terhadap aduan berkenaan memandangkan akhbar (yang menyiarkan penafian itu) diedarkan ke seluruh negara.
PROPERTY