Ekonomi merosot bawah -1%

Ekonomi negara dijangka menguncup bawah -1.0 peratus pada tahun ini di tengah-tengah iklim ekonomi semasa, kata menteri kewangan kedua.

"Saya tidak dapat memberitahu anda (angka itu) tetapi ia tentunya di bawah -1.0 peratus," kata Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah.

Beliau diminta mengulas unjuran oleh pakar ekonomi bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan menguncup antara -4.5 peratus dan -5.0 peratus pada 2009.

Unjuran KDNK Bank Negara Malaysia (BNM) bagi tahun ini antara -1.0
peratus dan 1.0 peratus.

Menurut Bernama, BNM akan membuat pengumuman mengenai KDNK suku tahun pertama esok.

"Tunggu pengumuman BNM esok," katanya selepas merasmikan pelancaran Program Penambahbaikan dan Pembangunan
Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti di Kuala Lumpur hari ini.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan membuat satu lagi pengumuman keesokannya (lusa) mengenai unjuran baharu KDNK 2009 dan kita kemudiannya akan mengetahui kedudukan ekonomi negara."

Tambah Husni, ekonomi bagaimanapun dijangka pulih dalam suku tahun ketiga kerana kesan pakej rangsangan ekonomi RM67 bilion baru-baru ini mulai dirasai.

Bagi 2010, katanya, kerajaan percaya KDNK akan dicatatkan positif.

Institut Penyelidkan Ekonomi Malaysia (MIER) bulan lepas berkata ekonomi menguncup 2.2 peratus tahun akibat kesan kelembapan ekonomi dunia.

Institut bebas itu juga menjangkakan Malaysia akan mengalami "kemelesetan teknikal" - atau pertumbuhan negatif dalam tempoh dua suku tahunan berturut-turut - separuh pertama tahun ini.

Ketika ditanya sama ada lebih banyak langkah liberalisasi akan diumumkan pada masa depan, Husni berkata kerajaan kini sedang mengusahakan mengenai pembangunan model ekonomi baharu negara ini.

"Model ekonomi itu kini berada pada peringkat perancangan," katanya, sambil menyatakan bahawa kerajaan akan mengkaji bidang yang boleh diliberalisasikan lagi.

Katanya, teras utama model baharu itu ialah kualiti pelaburan dan rakyat.

"Akhirnya, kita akan menjadi ekonomi terbuka kerana kita merupakan
sebahagian daripada sistem global tetapi proses liberalisasi memakan masa," katanya.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.