Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa dilihat masih berpeluang merebut kerusi timbalan presiden parti itu walaupun penyandangnya Nasharudin Mat Isa mendapat pencalonan besar.

Difahamkan, Nasharuddin mendapat 68 pencalonan daripada 137 kawasan yang menghantar laporan.

PAS mempunyai 176 kawasan di seluruh negara tetapi terdapat bahagian parti itu yang lambat menghantar pencalonan.

Daripada jumlah itu, Husam mendapat 28 pencalonan, manakala seorang lagi naib presiden Mohamad Sabu mendapat 26 pencalonan.

Walaupun kumpulan pro-muqabalah yang cenderung kepada idea berunding dengan Umno kini menguasai tiga sayap utama PAS - Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat - fenomena itu dilihat boleh memberikan kesan positif kepada Husam.

husam musa mat sabu nasharuddin mat isa 220409 Penguasaan mantap aliran pro-muqabalah sebelum pemilihan di muktamar PAS 5 Jun ini boleh membuatkan perwakilan yakin kedudukan kepimpinan ulama sudah stabil.

Susulan itu perwakilan boleh menaikkan pemimpin bukan ulama seperti Husam dan mereka tidak lagi perlu mempertahankan Nasharuddin - dianggap simbol penting aliran agama selepas presiden, demikian analisis sumber-sumber parti.

Tiga jawatan utama Dewan Pemuda PAS dimenangi tanpa bertanding, dua teratas Nasrudin Hassan dan Azman Shapawi Abd Rani beraliran agama - mengembalikan era kepimpinan ulama dalam sayap penting PAS itu dalam tempoh sedekad.

Dalam Dewan Muslimat, walaupun terdapat persaingan merebut jawatan nombor satu apabila penyandangnya Nuridah Salleh ditentang oleh Dr Asiah Ali, kedua-duanya dilihat tokoh aliran agama.

Difahamkan Nuridah tiada masalah mengekalkannya jawatannya - khususnya berdasarkan pencalonan yang diperolehinya.

Berdasarkan senarai pertandingan yang diumumkan kelmarin, penguasaan aliran pro-Pakatan Rakyat atau jolokannya "kumpulan Erdogan" dilihat semakin lemah walaupun mereka berdegar-degar mempertikaikan kumpulan pro-muqabalah sejak setahun lalu.

"Perkara ini biasa dalam PAS. Sebelum ini keadaan agak panas, tetapi akhirnya ia meredakan sikit kepanasan di atas (jawatan kanan PAS).

"Dengan berlakunya perkara ini (penguasaan kumpulan pro-muqabalah), tidak timbul lagi kerisauan ulama tidak cukup wakil dalam PAS," kata sumber-sumber.

Mereka juga mendakwa kemenangan Nasharudin selama dua penggal sebelum ini mendapat dukungan kuat kumpulan profesional, yang kali ini akan mengalihkan undi mereka kepada Husam.

Menurut sumber-sumber lagi, tindakan Nasharudin yang terlibat secara langsung dalam rundingan sulit PAS-Umno Mac tahun lepas "tidak dapat dilupakan dan akan ditolak oleh akar umbi PAS" dalam pemilihan nanti.

Sementara sumber-sumber yang rapat dengan bekas pensyarah itu pula melihat peluang dua calon tersebut boleh dinilai daripada jumlah pencalonan yang diterimanya.

"Dalam PAS ini, jumlah pencalonan yang diterima daripada kawasan mencerminkan hasrat akar umbi," kata mereka.

Mengulas penguasaan kumpulan pro-muqabalah dalam kesemua tiga dewannya, sumber-sumber itu berpendapat, penarikan diri pemimpin aliran "kumpulan Erdogan" dibuat setelah menimbangkan faktor tersebut.

"Macam (calon ketua Pemuda PAS) Zaki Ibrahim contohnya, beliau hanya mendapat dua sahaja pencalonan daripada Kelantan dan Melaka," kata sumber-sumber.

Tambah mereka, tindakan Husam mempromosikan dirinya sendiri dan malah mengkritik calon lain menyalahi etika berkempen boleh memberikan kelebihan kepada Nasharudin.

"Kita dibenarkan berkempen, kita dibenarkan mempromosi diri tetapi tak boleh mengata (kritik) orang lain. Bila sudah mula kata macam itu, persepsi orang bawah tidak akan menguntungkan orang yang berkata itu (Husam)," kata satu sumber.

Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula berpendapat, prestasi calon yang akan menentukan kemenangan masing-masing, dan bukannya bergantung kepada aliran masing-masing.

"PAS sebagai sebuah parti penting dalam Pakatan Rakyat mestilah mempunyai pemimpin yang boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan pemimpin lain dalam Pakatan.

"Oleh itu, calon yang bertanding akan dinilai berdasarkan prestasi mereka," katanya .

ADS