Kesemua 69 penghuni di Jalan 14/15 berhampiran tapak Bangunan Jaya Supermaket di Petaling Jaya berpindah selepas diarah semalam oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan polis demi keselamatan mereka.
Seorang penduduk, Sharon Wong Fook Thai, 36, yang bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat swasta, berkata beliau memutuskan untuk berpindah kerana tidak mahu mengambil risiko memandangkan bangunan terbabit disahkan tidak selamat dan boleh runtuh pada bila-bila masa.
"Rumah kami terlalu hampir dengan tapak bangunan runtuh dan ia sudah pasti mengundang bahaya kepada keluarga kami," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Seorang lagi penduduk, Phua Kian Huat, 47, berkata beliau sekeluarga
berpindah setelah memikirkan bahawa kerja meruntuhkan bangunan itu akan mengakibatkan bunyi bising dan boleh membahayakan anggota keluarganya, lapor Bernama.
"Apa yang penting sekarang ialah faktor keselamatan keluarga kami dan juga enam penghuni yang menyewa di rumah kami. Kami berpendapat berpindah lebih baik daripada menghadapi pelbagai risiko apabila bangunan itu diruntuhkan kelak," katanya.
Semalam, Datuk Bandar Petaling Jaya Datuk Mohamad Roslan Sakiman mengarahkan kesemua penduduk terbabit berpindah setelah polis mendapat nasihat daripada pakar bahawa bangunan terbabit tidak selamat dan boleh runtuh keseluruhannya pada bila-bila masa.
Mesyuarat yang membabitkan polis, MBPJ, kontraktor dan pemaju semalam memutuskan agar penduduk berkenaan berpindah selepas kontraktor dan pemaju bersetuju untuk menempatkan kesemua penduduk yang terlibat itu di sebuah hotel berdekatan.
Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati kesemua penduduk telah berpindah semalam kecuali penduduk di dua buah rumah yang hanya berpindah hari ini.
Bagi memastikan kawasan perumahan penduduk yang telah berpindah tidak diceroboh, anggota polis dan MBPJ kini ditempatkan di kawasan itu.
