Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPR kesal parti, calon tak patuhi peraturan
Diterbitkan:  May 31, 2009 2:10 PM
Dikemaskini: 6:11 AM

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kesal dengan tindakan parti dan calon yang bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Penanti yang masih tidak mematuhi peraturan seperti meletakkan logo dan bendera parti pada kenderaan dan memakai pakaian yang mempunyai logo parti.

Walaupun kesal, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Aziz berkata, pihaknya tidak mengambil sebarang tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan itu kerana ini merupakan kali pertama SPR melaksanakan peraturan itu.

"Kita tak ambil tindakan lagi. Kita dalam proses mendidik. Kita perlu laksanakan perkara secara perlahan-lahan," katanya kepada pemberita ketika melawat pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Tanah Liat, di Bukit Mertajam hari ini.

Menurutnya lagi, proses pengundian bagi pilihanraya kecil itu sehingga tengah hari ini berjalan lancar, lapor Bernama.

Mengenai dakwaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa terdapat pengundi yang namanya tidak terdapat dalam daftar pemilih, Abdul Aziz berkata SPR akan menyiasat dakwaan itu.

"Sebab itu kita telah menasihatkan dari awal supaya orang ramai menyemak daftar pemilih sebelum hari pengundian bukannya datang pada saat akhir dan timbul masalah," katanya.

Menurut SPR, sehingga pukul 12 tengah hari seramai 4,593 daripada 15,384 pengundi atau 29.86 peratus telah keluar mengundi.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob yang ditemui di Sekolah Jenis Kebangsaan Jit Sin (A) di sini berkata berdasarkan pemantauan, keadaan tenang dan laluan trafik berjalan lancar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS