Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
38.77% mengundi sehingga 2 petang
Diterbitkan:  May 31, 2009 2:32 PM
Dikemaskini: 7:49 AM

Jumlah pemilih yang keluar mengundi dalam pilihanraya kecil DUN Penanti sehingga jam 2 petang tadi, adalah 38.77 peratus atau 5,964 orang, demikian menurut Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

penanti by election 310509 voter voting.JPG Sehingga jam jam 12 tengahari tadi, seramai 29.86 peratus atau 4,593 orang keluar mengundi berbanding dengan 23.5 peratus atau 3,590 orang pada jam 11 pagi tadi dan 14.6 peratus pada jam 10 pagi tadi.

SPR mensasarkan sebanyak 70 peratus daripada 15,385 pemilih akan keluar mengundi dalam pilihanraya kecil hari ini.

Kerusi DUN Penanti kosong ekoran peletakan jawatan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin pada 16 April lalu, selepas melepaskan jawatan timbalan ketua menteri 1 Pulau Pinang seminggu sebelumnya.

kerusi dun penanti pulau pinang 200409 Dalam pilihanraya umum lalu, Fairus dari PKR mendapat 7,346 undi, menewaskan calon BN, Datuk Abdul Jalil Majid yang mendapat 5,127 undi.

BN tidak bertanding dalam pilihanraya kecil hari ini. Empat calon yang bertanding ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman; 59; dan tiga calon bebas - bekas ketua wanita PKR, Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56; bekas ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti, Nai Khan Ari a/l Nai Keow, 41 dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.

BN memutuskan tidak meletakkan calonnya bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut atas alasan kekosongan kerusi tersebut adalah usaha PKR untuk menyelesaikan masalah dalamannya.

BN juga mendakwa pilihanraya kecil ini satu permainan politik pembangkang.

ADS