Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Abdul Aziz Zainal hari ini menafikan laporan media Indonesia yang mendakwa kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menceroboh kawasan perairan bertindih Ambalat di Laut Sulawesi.
Katanya, tentera Indonesia tidak perlu membuat dakwaan yang tidak berasas itu dengan mengeluarkan kenyataan kepada media.
"Kita ada persefahaman antara dua negara, jadi kalau ada kekeliruan berhubung isu ini lebih baik gunakan jawatankuasa yang ada dan bukan melalui media," katanya kepada pemberita di ibunegara hari ini, lapor Bernama.
Abdul Aziz berkata isu-isu berhubung perairan kedua-dua negara perlu dibincangkan melalui jawatankuasa teknikal yang telah ditubuhkan oleh kedua-dua negara.
Katanya beliau akan ke Jakarta Selasa depan bagi membincangkan isu-isu berkaitan ketenteraan kedua-dua negara.
Media Indonesia minggu lepas melaporkan tentang apa yang mereka dakwa sebagai insiden pencerobohan kapal TLDM di kawasan perairan bertindih itu yang
dilaporkan kaya dengan sumber minyak dan gas.
Mereka mendakwa kapal tentera lautnya yang sedang meronda di perairan bertindih itu minggu lalu hampir melepaskan tembakan terhadap sebuah kapal
peronda TLDM kerana tidak mengendahkan arahan supaya beredar dari perairan terbabit.
Kejadian minggu lepas itu disifatkan sebagai insiden paling buruk pernah berlaku sejak isu tuntutan bertindih tersebut timbul.