• Hadi pertimbangkan usul dewan ulama
  • Abdul Rahim Sabri
  • 1244186122
  • PAS akan mempertimbangkan usul Dewan Ulama semalam yang mahu dua jawatan teratas parti dan satu daripada tiga naib presiden dibarisi oleh ulama, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

    "Saya belum membacanya secara terperinci (usul tersebut). Dan (usul) itu akan dipertimbangkan oleh kepimpinan PAS pusat," kata presiden PAS.

    "Apa yang ingin saya tegaskan ialah PAS dipimpin secara kolektif oleh kalangan ulama dan profesional.

    "Di mana ulama itu tidak bersikap diktator dan profesional yang (tidak) bersifat tamak. Kita bersatu antara satu sama lain."

    Abdul Hadi menjelaskan perkara tersebut dalam satu sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar bertemakan "Islam Memimpin Perubahan" dalam muktamar ke-55 pagi ini.

    Semalam Dewan Ulama menerima usul tersebut tetapi jawatankuasa usul yang menapis usul-usul untuk perbahasan di sidang muktamar menolak usul tersebut dengan alasan "kerana tidak cukup kriteria untuk dibahaskan".

    Ditanya mengenai pembahagian jawatan tertinggi negara terutama jawatan perdana menteri mengikut konsep kerjasama dalam Pakatan Rakyat jika pembangkang menang pilihanraya umum akan datang, Abdul Hadi berkata:

    "Kita semua tahu politik berubah, bukan sahaja dalam konsep satu parti, bahkan hal dalam negara pun berubah.

    "Orang meramalkan pemimpin yang lain, sebaliknya pemimpin lain yang naik.

    "Begitu juga dalam Pakatan Rakyat, ini berubah. Yang penting ialah prinsip dan konsep kerjasama. Ini sangat penting. Ini yang perlu kita pertahankan. Bukan kita mempertahankan seseorang, bukan kita mempertahan sesiapa.

    "Yang penting kita mempertahan prinsip dan konsep adil untuk semua."

    Muktamar PAS berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad di Stadium Malawati, Shah Alam.
    • Ulama tidak bersikap diktator
    • Pertahan adil untuk semua