Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pegawai khas kepada Menteri Besar Kedah, Ismadi Abdul Kadir menafikan bahawa beliau mengahwini isteri orang, seperti yang dimuatkan dalam sebuah blog.

"Ini merupakan fitnah jahat untuk memburuk-burukkan imej saya dan kerajaan negeri Kedah.

"Ia dibuat oleh pengikut pertubuhan dan ajaran yang disahkan sesat oleh Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)," kata Ismadi kepada Malaysiakini hari ini.

Ismadi diminta mengulas khabar angin yang mendakwa beliau berkahwin dengan isteri orang setelah wanita itu tidak mendapat nafkah selama lapan bulan daripada suaminya.

Semalam, Naib Ketua Pemuda Umno Kedah, Haris Che Mat dilaporkan mendesak Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak supaya menyiasat kesahihan dakwaan itu dalam sebuah laman blog bertarikh 26 Mac.

Ketika dihubungi Malaysiakini , Ismadi berkata, beliau mempunyai dokumen yang lengkap bagi membuktikan bahawa perkahwinannya sah di sisi agama dan undang-undang negeri.

"Isteri saya ini pernah ditinggalkan tanpa sebarang nafkah. Dia jumpa kadi syariah dan tuntut fasakh daripada suami lamanya," katanya Ismadi petang ini.

Pernah 'diserang' bekas suami

Menurut Ismadi, isteri mudanya itu sebelum ini berkahwin dengan anak pemimpin pertubuhan dan ajaran yang diharamkan kerajaan tidak lama dahulu.

Ismadi menambah, beliau mengahwini isteri keduanya itu - seorang peguam beranak tiga - Jun tahun lalu.

Katanya, isteri mudanya itu juga mendapat hak penjagaan untuk kesemua anaknya daripada mahkamah syariah, tambahnya lagi.

Menurut Ismadi, keputusannya berkahwin dengan isteri keduanya itu serta menjaga anak tirinya itu, telah menimbulkan perasaan tidak puas hati bekas suaminya.

Beliau mendakwa, bekas suami isterinya itu pernah "menyerangnya" di pejabatnya di Alor Star tiga bulan lalu kerana tidak puas hati.

"Saya katakan pada dia, saya ada semua dokumen (pernikahan). Kalau tidak puas hati, bawa ke mahkamah. Kita sedia lawan," kata Ismadi.

Sementara Azizan ketika ditemui di Muktamar Tahunan PAS ke-55 petang ini berkata "tidak ada apa-apa" berlaku terhadap pegawai kanannya itu.

"Kompang elok, kenduri (kahwin) elok," katanya tapi enggan mengulas panjang.

ADS