Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Wartawan turut ditegur perwakilan PAS, bukan kerana tidak melaporkan perjalanan muktamar tahunan mereka dengan tepat, tetapi kerana tidak memakai tudung.

Perwakilan Pahang, Yusof Embung dengan nada lantang berkata:

“Dalam muktamar kita, pemberita (wanita) masuk tidak menutup aurat. Kalau ini sebuah negara Islam, kita tidak ajar manusia dedahkan aurat sesuka hati.”

Beliau bagaimanapun tidak menghuraikan lanjut tegurannya itu ketika membahaskan ucapan dasar presiden dalam muktamar tahunan PAS ke-55 yang masuk hari kedua petang ini.

Ditemui pemberita selepas itu, Yusof berkata, beliau meminta kepimpinan tertinggi PAS menjelaskan perkara itu kerana itu kerana ia telah lama ditimbulkan, termasuk dalam muktamar yang terdahulu.

Katanya, kod etika pakaian itu seiring dengan dasar “PAS untuk semua” yang diperkenalkan parti itu.

Sementara perwakilan dari Johor, Mohd Sofi Abd Wahid pula tidak menyatakannya secara langsung, tetapi dengan nada menyindir.

“Kita kena berubah daripada yang perkara kecil dulu. Di kalangan pemberita tidak ada peraturan.

"Lebih-lebih lagi (pemberita) wanita. Nak letak tangan di atas kepala, nak letak kain buruk (bertudung) pun tak boleh di depan pemimpin kita.

“Kita berada dalam majlis berkat (muktamar tahunan), dimulakan dengan (bacaan) al-Fatihan, diakhiri dengan tasbih kifarah.

"Ini bukan majlis maksiat. Kenapa bimbang berita masuk dalam akhbar, mereka tidak pernah masuk pun.

"Dulu kata (orang Islam) tidak boleh kata tepuk tangan, sekarang tengelam dah (saranan itu). (Sekarang) tepuk tangan lebih deras lagi,” katanya yang juga ketua penerangan PAS negeri itu.

ADS