Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemuda Umno akan mengadakan majlis dialog dengan lapan NGO Cina Khamis depan untuk mendengar pandangan mereka.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata ia termasuklah mendapatkan pandangan mereka mengenai konsep '1 Malaysia'

khairy jamaluddin Katanya, perjumpaan tersebut akan berlangsung di Universiti Malaya (UM).

Bagaimanapun, beliau yang juga ahli parlimen Rembau, tidak menyatakan nama NGO terbabit.

"Saya nak wujudkan rangkaian antara NGO Melayu dengan NGO Cina," katanya selepas mesyuarat exco Pemuda Umno di Ibunegara petang ini.

Perjumpaan itu juga, katanya, bertujuan untuk mendengar pandangan mereka mengenai konsep Satu Malaysia.

wee ka siong Manakala Ketua Pemuda MCA yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong pula, katanya, akan mengadakan perjumpaan dengan pertubuhan Melayu.

Pandangan orang Melayu

Pertubuhan itu, kata Khairy, termasuklah gerakan belia dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) untuk mendapatkan pandangan dari orang Melayu.

Menurutnya lagi, Pemuda Umno juga akan mendekati orang muda di kawasan bandar dan bukan setakat di luar bandar sahaja.

Berikutan itu, pergerakan itu akan mengadakan program bersama rakyat di flat Kampung Kerinci di ibunegara Ahad ini.

"Supaya kita turun untuk mendekati orang bandar. Ia termasukkan mengadakan gotong-royong," tambahnya.

Mengenai isu kerajaan perpaduan, Khairy berharap perbincangan antara PAS dan Umno akan menjadi kenyataan.

Bagaimanapun, katanya, tidak boleh ada sebarang prasyarat untuk mengadakan perbincangan tersebut.

Jumpa Lee Kuan Yew

Khairy juga memberitahu, beliau telah mengadakan pertemuan dengan menteri mentor Singapura, Lee Kuan Yew pagi tadi.

"Dalam perjumpaan tersebut, beliau tanya saya mengenai pendekatan Pemuda Umno untuk generasi muda di Malaysia," katanya.

Mengenai pilihanraya kecil DUN Manek Urai, Khairy berkata, Pemuda Umno akan menyokong calon yang diterima pengundi di situ.

Menurutnya, jentera pilihanraya Pemuda adalah mantap dan "kita ada peluang menang jika kena calonnya".

Malah, katanya, jentera Pemuda Umno Kelantan dan Kuala Krai sudah bergerak.

"Gerak kempen kita adalah kepada cakna rakyat," tambahnya.

ADS