Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muktamar khas PAS redakan isu k'jaan perpaduan
Diterbitkan:  Jun 17, 2009 7:43 PM
Dikemaskini: 12:11 PM

Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib mencadangkan satu muktamar khas diadakan bagi membincangkan cadangan kerajaan

perpaduan kerana ia satu isu yang besar.

"Ini perkara besar dan baru, tidak boleh buat begitu sahaja... kena bawa ke peringkat akar umbi melalui muktamar khas.

"Bila muktamar khas sudah bersetuju, baru kita boleh laksanakan," katanya seperti dilaporkan Bernama .

Beliau juga berkata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka memberikan penerangan secara terperinci kepada pemimpin-pemimpin parti itu berhubung cadangan berkenaan.

"Kita tunggu presiden pulang dari luar negara. Insya Allah , selepas

diberikan penerangan, kita bersedia turun padang menjelaskan mengenai perkara itu," kata Harun, yang baru dilantik pesuruhjaya PAS Terengganu.

Hari ini, dengan gaya penentangannya, mursyidul am PAS menggesa timbalan presidennya Nasharudin Mat Isa meletakkan jawatan tersebut dan juga melepaskan kerusi parlimen Bachok.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan rasa kesalnya terhadap kenyataan Nasharuddin semalam yang menyambut kesediaan perdana menteri untuk berbincang berhubung isu tersebut.

Bercakap selepas mesyuarat exco kerajaan Kelantan, menteri besar itu mengulangi penegasannya bahawa isu kerajaan perpaduan dibawa "boneka Umno" dalam partinya dan satu agenda BN untuk memecah-belahkan PAS dan juga Pakatan Rakyat.

Dalam sidang media yang sama, Harakahdaily.net pula melaporkan, beliau bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Utusan Malaysia yang didakwa memutar belit kenyataannya.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya menggunakan perkataan 'nasihat saya mesti didengar' sebagaimana yang dilaporkan akhbar berkenaan bertarikh 15 Jun lalu.

"Bukan watak saya memaksa orang lain mendengar cakap saya, bahkan ia bukan sejarah dalam hidup saya untuk berbuat demikian seperti disiarkan akhbar terbabit," Nik Aziz dipetik berkata.

Dengan tajuk berita 'Boneka UMNO' nasihat awal - Nik Aziz', harian tersebut melaporkan Nik Aziz dipetik berkata "boneka Umno" hanya nasihat awalnya dan perlu didengar oleh pemimpin lain PAS.

Nik Aziz bagaimanapun menyifatkan berita itu "ditulis dengan memutarbelit kenyataannya, ditambah pandangan penulis sendiri", lapor akhbar web itu lagi.

"Saya telah menyerahkan kepada peguam hari ini untuk mengambil tindakan ke atas akhbar terbabit dan penulis rencana (surat pembaca) terbabit," katanya.

Surat bertajuk 'Nik Aziz memutlakkan nasihatnya bercanggah hukum-hakam' diterbitkan semalam.

ADS