Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bermula awal bulan depan tidak akan menggugat kerjasama dalam Pakatan Rakyat, walaupun penasihat PKR didapati bersalah, kata Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan.

"Takdir, katakanlah, mahkamah mensabitkan kesalahan (terhadap Anwar) sekalipun, saya rasa sukar untuk diterima oleh rakyat. Kerana ketelusan institusi kehakiman gagal dipulihkan kerajaan Umno-BN," katanya dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini .

"Jika di situ (pemulihan institusi) tidak selesai, selama-lamanya orang melihat sama ada Datuk Seri Anwar, atau sesiapapun, hanya mangsa kepada kezaliman Umno dan BN."

Nasrudin – yang mendapat gelaran At-Tantawi di kalangan rakan-rakan ketika menuntut dalam bidang syariah di Mesir – diminta mengulas cabaran pembangkang mengekalkan kerjasama yang dilihat bergantung kepada karisma Anwar untuk mempertautkan PAS dan DAP yang dilihat tidak serasi dalam banyak perkara.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar kes liwat Anwar terhadap bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan antara 1 hingga 24 Julai ini.

Nasrudin juga mengulas isu paling hangat dalam parti itu, idea pembentukan kerajaan perpaduan antara PAS dan Umno yang diutarakan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Tampil dengan imej seorang ulama muda, Nasrudin mengumpamakan perbincangan PAS-Umno itu satu usaha berdakwah Musa kepada Firaun.

"Misalnya bagaimana Allah menghantar nabi Musa berdepan dengan Firaun, di depan raja yang zalim, kenapa kita berhalangan mengambil sunnah yang sama untuk membawa risalah ini kepada mereka (Umno)?" katanya.

"Sebaik-baik kalimah adalah di depan sultan yang zalim. Sampai ke depan pintu pemerintah yang zalim kita mesti pergi.

"Jadi, saya kira tidak menjadi halangan untuk kita berunding, berbincang, berdialog (dengan Umno).

"Cuma saya hendak menghapuskan persepsi yang menyatakan rundingan itu bertujuan menyertai (Umno)."

Nasrudin, yang mengakui menyertai PAS antaranya selepas terpesona dengan ketokohan Abdul Hadi berkata, sekiranya pemimpin parti itu "bijak dan tepat" mengambil tindakan, idea kerajaan perpaduan tidak akan menjadi masalah.

Bapa kepada enam anak itu menambah, idea yang diutarakan presidennya hanyalah "gagasan yang terbuka kepada perbahasan" dan dapat membentuk kematangan di kalangan ahli PAS jika perbezaan pandangan ditangani dengan baik.

"Ini bukan baru. Sudah banyak kali. Sebelum ini berlaku dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU), kemudian Barisan Alternatif. Ini semua adalah siri-siri ijtihad politik, apabila berlaku ijtihad politik, sedikit sebanyak berlakulah pergolakan atau perbahasan terbuka," katanya.

"Tetapi apabila dibuat keputusan dalam muktamar, saya percaya ahli akan bertaut kembali," kata anak kelahiran Besut itu.

Nasrudin turut merumuskan, masalah dalam Pakatan Rakyat selama ini hanyalah berpunca daripada "salah faham" dan dapat diselesaikan melalui penubuhan sekretariat bersama di pelbagai peringkat.

Tambahnya, Dewan Pemuda PAS masih memikirkan mekanisme pendekatan bagi mendekati Umno – yang disifatkannya masih dikekang oleh manupulasi media, terumamanya yang dikuasai pemerintah.

Wawancara bahagian pertama

Wawancara bahagian kedua

Berita PAS tawan Sabah, Sarawak
ADS