Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemuda PAS bimbang kenyataan sepuluh ahli parlimennya semalam yang menolak kerajaan perpaduan tidak akan meredakan pergeseran terbuka dalam parti itu yang dilihat semakin retak.

"Tidak perlu ramai membuat kenyataan. Kita harus bergantung kepada keputusan akhir (mesyuarat khas) untuk menyelesaikan masalah.

"Saya menyatakan kebimbangan bahawa saya tidak nampak (kenyataan mereka) meredakan suasana," kata ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Beliau diminta mengulas tindakan sepuluh daripada 24 anggota Dewan Rakyat parti itu yang mengisytiharkan beramai-ramai di lobi Parlimen petang semalam.

Mereka juga memberi mandat kepada Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk menangani isu tersebut yang kelihatan makin serius selepas muktamar awal bulan ini.

Wakil-wakil rakyat PAS itu: Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Khalid Samad (Shah Alam), Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Datuk Kamaruddin Jaffar (Tumpat), Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali (Titiwangsa), Dr Mohd Hayati Othman (Pendang), Taib Azamuddin Md Taib (Baling) dan Dr Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar).

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Khairul Faizi menggesa semua peringkat kepimpinan parti termasuk ahli parlimen supaya bersabar menunggu keputusan dalam mesyuarat khas nanti seperti yang ingin diusahakan oleh Nik Aziz.

"Kita mengamalkan konsep berjemaah, masalah dapat diselesaikan dalam mesyuarat," katanya, yang juga penolong setiausaha Dewan Pemuda PAS.

Beliau memberikan contoh pemimpin atasan PAS menangani pergeseran pandangan secara terbuka berhubung rundingan sulit Umno-PAS tahun lalu yang membawa kepada pertemuan khas Nik Aziz dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kota Bharu.

Khairul Faizi menambah, menteri besar itu mendapat penjelasan sebenar sehingga perkataan "muzakarah" ditukar kepada "muqabalah".

Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang tidak bersetuju dengan tindakan ahli-ahli parlimen PAS tersebut.

"Secara peribadi saya tidak bersetuju dengan tindakan mereka sebab kita boleh berbincang dengan elok, tapi kita (10 ahli parlimen itu) buat macam kita tidak berpakat dalam PAS," kata Mohd Yusni Mat Piah ketika dihubungi Malaysiakini .

"Lebih baik pimpinan pusat berbincang, lebih elok. Pemuda negeri mengikut apa sahaja yang diputuskan oleh PAS pusat."

Seperti Khairul Faizi, beliau juga menjadikan cara penyelesaian isu rundingan sulit Umno-PAS tahun lepas sebagai satu kaedah meredakan pergeseran tersebut.

Beliau berkata kefahaman Abdul Hadi berhubung kerajaan perpaduan tidak sama dengan tanggapan ahli-ahli akar umbi yang boleh menimbul salah faham.

"Akar umbi ingat kerjasama Umno dan PAS itu seperti masa zaman PAS dalam BN dahulu.

"Mereka (akar umbi) bimbang, (PAS) masuk Umno, akan ditendang keluar seperti dalam apa yang berlaku dalam sejarah,” katanya.

ADS