Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Poster Nik Aziz 'bernilai komersil tinggi'
Diterbitkan:  Jun 22, 2009 11:30 AM
Dikemaskini: 6:00 AM

Seorang ahli strategi PAS Datuk Wan Rahim Wan Abdullah berkata poster Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat "bernilai komersil yang tinggi" bagi menarik pengundi DUN Manek Urai.

Ahli parlimen Kota Bharu, yang juga penasihat jentera operasi pilihanraya kecil tersebut, dilaporkan berkata "hanya poster Tok Guru Nik Aziz sahaja mempunyai nilai untuk menarik pengundi".

"Jadi dalam hal ini kita hanya menilai dari sudut komersil sebagai cara menarik pengundi di Manek Urai. Kita betul-betul eksploit gambar Tok Guru untuk pancing undi," katanya kepada Harakahdaily , Sabtu lalu.

kuala berang by-election 270804 pas posters Malaysiakini minggu lepas melaporkan PAS Kelantan mengambil keputusan mengejut tidak menaikkan poster Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan alasan untuk "melokalisasi" kempennya.

Seperti kenyataan timbalan pengarah pilihanraya PAS negeri, Nasir Daud pada Khamis lepas, Wan Rahim juga menafikan ketiadaan poster Abdul Hadi itu berkaitan dengan isu kerajaan perpaduan.

Dua tokoh besar PAS itu sering bergeser secara terbuka di media berhubung wajar atau tidak diadakan perbincangan PAS-Umno dalam isu muzakarah dan kerajaan perpaduan.

pas manek urai by election website 220609 Laman rasmi kempen PAS di Manek Urai (prkn41.pas.org.my) bagaimanapun memuatkan imej kedua-dua pemimpin ulama itu yang sedang tersenyum.

Menurut akhbar web PAS itu lagi, Wan Rahim dilaporkan mengakui menteri besar Kelantan memang mempunyai tarikan tersendiri di kawasan DUN tersebut sehingga "seorang imam di masjid mukim Manek Urai menganggap seolah-olah mendapat pahala apabila memandang poster Nik Aziz".

"Inilah bukti gambar Tok Guru (Nik Aziz) mempunyai nilai yang tinggi di kalangan rakyat beliau," katanya.

Wan Rahim juga menjelaskan kesemua jentera PAS Kelantan mula bergerak aktif di Manek Urai sejak 13 Jun lalu, manakala jentera parti dari negeri-negeri lain tiba peringkat demi peringkat.

"Kita tidak menggesa jentera negeri untuk datang awal sampai akhir ia terlalu lama. Jadi mungkin jentera negeri akan hadir kemudian sikitlah memandangkan jentera parti Kelantan sudah berkampung," katanya lagi.

ADS