Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Dua hari lalu, mesyuarat ahli jawatankuasa PAS kawasan Kuala Krai bersetuju memilih bendahari kawasan itu, Fauzi Abdullah untuk dicadangkan kepada pucuk pimpinan untuk bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai bulan depan.

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, ada di kalangan ahli jawatan terbabit 'menukar fikiran' dan mahu calon lain dipertimbangkan untuk bertanding di situ.

Berikutan itu, PAS kawasan Kuala Krai terpaksa mengadakan mesyuarat sekali lagi - dijangka esok, sehari sebelum pengumuman Jumaat ini - untuk memilih semula calon untuk dicadangkan kepada PAS pusat.

Menurut seorang ahli jawatan PAS kawasan itu, Zulkifli Yaacob, dalam mesyuarat dua hari lalu, dua nama - Fauzi dan beliau sendiri - telah dicadangkan untuk menjadi calon PAS di Manek Urai.

Bagaimanapun, katanya, beliau menarik dan diri dan mesyuarat memutuskan untuk mencadangkan nama Fauzi untuk pertimbangan PAS pusat.

Namun begitu, kaktanya, tidak lama selepas keputusan itu dibuat, ada beberapa ahli jawatankuasa yang kurang setuju dengan pemilihan Fauzi dan mahu beberapa nama lain diteliti untuk dipertimbangkan.

"Yang dipertua PAS kawasan, Abdul Latif Abdul Rahman menelefon saya meminta pendapat mengenai calon yang sesuai untuk DUN Manek Urai.

Tambah dua nama lagi

"Saya mencadangkan nama Mohd Zamzuri Mat Lazim - bekas calon PAS yang kalah DUN Manek Urai dalam pilihanraya umum tahun 2004," katanya.

Zulkifli berkata, Abdul Latif juga bertanya kepadanya sama ada akan timbul masalah jika Zamzuri dipilih menjadi calon PAS Manek Urai.

"Saya kata, kita akan selesaikan masalah itu secepat mungkin," katanya tetapi enggan menyatakan apakah masalah tersebut.

Selain Zamzuri, katanya, nama setiausaha PAS kawasan Kuala Krai, Mohamad Harun, turut dimasukkan dalam senarai baru itu yang akan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan, yang dijangka diadakan esok.

Menurutnya, PAS akan mengumumkan nama calonnya bagi pilihanraya kecil DUN Manek Urai, dalam satu majlis pada Jumaat malam ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang juga menteri besar Kelantan, dijangka hadir.

ADS