Kerajaan tidak akan menutup semua sekolah di Lembah Klang bagi membendung penyebaran wabak selsema A (H1N1) buat masa ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Jika kita tutup sekolah, ia hanya akan wujudkan suasana panik. Di samping itu, kita mesti pastikan tindakan tegas supaya wabak ini dapat dikawal.
"Bagi saya, menutup sekolah merupakan salah satu tindakan tegas yang boleh diambil. Ia bukan sesuatu yang tidak akan kita buat.
"Tetapi kita hanya akan tutup sekolah sekiranya usaha lain tidak berhasil," kata Najib dalam satu sidang akhbar di ibunegara hari ini.
Menjawab soalan, perdana menteri berkata, sekolah akan hanya ditutup sebagai langkah terakhir mengawal penyakit tersebut.
Sebelum ini merasmikan konvensyen baitulmal 2009 di di Masjid Wilayah Persekutuan.
"Jika selsema itu terus merebak dan bilangan kesnya terus meningkat, kita akan pertimbangkan (langkah itu)," tambahnya.
Sejak Ahad lalu, wabak tersebut turut dikesan di tujuh sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor - menyebabkan empat daripadanya ditutup dan tiga lagi diarah menutup kelas yang melibatkan pelajar yang dijangkiti.
Setakat hari ini. penularan tempatan wabak selesema A (H1N1) terus berlaku dengan dua kes lagi tempatan disahkan hari ini, menjadikan jumlahnya 11 kes daripada 80 kes yang dikesan sejak kes pertama seminggu lalu.
Kes yang disahkan hari ini termasuk 10 kes import.
