Ketua menteri Pulau Pinang menafikan dakwaan bahawa warga emas di negeri ini diminta mengisi borang menganggotai DAP sebagai syarat mendapat saguhati seperti dibangkitkan oleh BN.
Lim Guan Eng, yang juga setiausaha agung DAP, berkata partinya tidak pernah meletakkan syarat dan borang berkenaan juga tidak memerlukan warga emas menyatakan keanggotaan mana-mana parti.
Tambahnya, dakwaan Ketua Pembangkang DUN Datuk Azhar Ibrahim berhubung perkara itu dilihat berunsur fitnah ke atas kerajaan negeri, lapor Bernama .
"Beliau (Azhar) jangan buat tohmahan atau fitnah yang melampau seperti ini kerana borang pendaftaran berkenaan tidak ada kaitan langsung dengan DAP dan ia dikeluarkan dengan lambang kerajaan negeri dan bukan lambang roket (DAP)," Lim dipetik berkata hari ini.
Meliau menggesa Azhar membuktikan dakwaannya seperti yang dilaporkan media hari ini atau menarik balik dan memohon maaf jika
tidak dapat membuktikannya.
Dalam perkembangan lain, Lim berkata kerajaan negeri menganjurkan
pertandingan merekacipta maskot slogan pentadbirannya CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus) dengan peserta hanya boleh menghantar satu rekacipta dan perlu memilih sejenis binatang
daripada keluarga kucing yang dapat menggambarkan imej Pulau Pinang.
"Seramai tiga pemenang akan dipilih dan setiapnya akan terima wang tunai RM1,000, manakala karya pemenang yang dipilih sebagai maskot CAT akan menerima hadiah wang tunai tambahan RM1,000," katanya.
Tarikh tutup pertandingan pada 31 Julai ini dan peserta yang berminat boleh menghubungi 04-65 05 112 atau emel sebarang pertanyaan kepada [email protected] .
