Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seperti kenyataan dalam video, Che Mah Abdul Hadi hari ini mengakui Rosmah Mansor berkahwin dengan Datuk Seri Najib Razak di rumahnya di Gedong Lalang, Seremban.

Wanita pertama negara itu melangsungkan perkahwinan menjelang tokoh politik itu bertanding ketua Pemuda Umno, kata isteri bekas speaker DUN Negeri Sembilan, Datuk Ariffin Ali dalam video tersebut.

Bagaimanapun, ketika dihubungi melalui telefon, Che Mah (foto, bawah) berkata beliau sudah lupa tarikh tepatnya.

"Tetapi dia (Rosmah) sudah tidak kenal saya, walaupun berkahwin di rumah saya," katanya lagi, mengulangi dakwaan dalam klip video sewaktu diwawancara.

anti rosmah mansor video 250609 2 Pihak yang menembualnya dan penerbit video tersebut, yang kini mendapat sambutan hangat di internet, tidak dapat dipastikan.

"Kenapa kamu tidak percaya, Rosmah kahwin di rumah saya," katanya ketika diminta mengesahkan dakwaannya itu.

Che Mah bagaimanapun enggan mengulas lanjut kepada Malaysiakini dengan alasan "tidak mahu bercakap dengan orang yang tidak dikenali".

Hasil perkahwinan Rosmah dan Najib, pasangan tersebut dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nooryana Najwa, 20, dan Norashman Razak, 18.

Malaysiakini semalam melaporkan sejak dua minggu lalu tiga klip video berupa dokumentari pendek disebarkan di internet yang memberikan gambaran negatif dan label liar "perempuan puaka" terhadap Rosmah.

Sementara itu Pengerusi JKKK Gedong Lalang 50, Abu Hassan Majid juga mengesahkan mengenali Che Mah, jiran ibu bapa Rosmah.

Ikmal Hisham, anak Che Mah yang bekerja sendiri dan senang bergaul dengan anak muda kampung tersebut kini tinggal bersamanya, kata Abu Hassan lagi.

Ikmal (foto, atas) antara sumber utama yang ditonjolkan dalam video tersebut - didakwa pernah tinggal dengan Rosmah dan memanggilnya dengan nama kekeluargaan "Kak Ros".

Abu Hassan, yang juga ketua kampung itu menambah, Che Mah suatu ketika dahulu pernah menjadi ahli jawatankuasa tersebut.

Beliau tidak menyatakan tarikhnya.

"Saya selalu juga pergi ke rumahnya, dia sendiri bercampur dengan orang kampung," tambahnya.

Katanya, Che Mah dan Rosmah tidak mempunyai sebarang hubungan kekeluargaan, cuma hubungan kejiranan kerana rumah mereka selang dua buah rumah.

Menurut klip video ketiga, hubungan Che Mah dengan Rosmah pernah akrab sebagai "keluarga angkat" dan bertanggungjawab memperkenalkan bomoh kepada isteri Najib.

Dalam temubual itu, Che Mah menceritakan saat-saat awal persiapan pernikahan Najib-Rosmah yang hanya membabitkan "14 hingga 15 orang" sehingga suaminya Ariffin memanggil lagi ahli-ahli Umno menjadikan 80 hadirin semuanya.

Sementara Ikmal pula meluahkan rasa marahnya atas alasan Rosmah tidak lagi mengenang budi ibunya sekeluarga berhubung perkahwinannya.

ADS