Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAPSY P Pinang kesal k'jaan negeri diketepikan
Diterbitkan:  Jun 29, 2009 4:08 PM
Dikemaskini: 8:55 AM

Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Pulau Pinang kecewa kerana kerajaan negeri telah diketepikan dalam penganjuran sambutan Hari Belia Negara 2009 peringkat negeri.

Sambutan tersebut dianjurkan oleh Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang - kedua-duanya terletak di bawah arahan dan pentadbiran kerajaan persekutuan.

Dalam satu kenyataan bersama, Timbalan Ketua DAPSY negeri, Lau Keng Ee dan Setiausaha DAPSY negeri, Ng Wee Aik berkata program yang begitu bermakna untuk para belia, telah dianjurkan di negeri Pulau Pinang

Bagaimanapun, mereka kesal kerana wakil kerajaan negeri Pulau Pinang tidak dijemput, termasuk Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan Exco Belia dan Sukan negeri, Lydia Ong Kok Fooi.

Menurut mereka, program tersebut telah diadakan dari jam 9 pagi lagi di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Pada jam 8 malam hari yang sama, suatu perhimpunan Hari Belia Negara 2009 peringkat negeri Pulau Pinang berlangsung di tempat yang sama.

Perhimpunan tersebut telah dirasmikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek. Antara tetamu khas yang hadir termasuk ADUN Bertam, Zabariah; pegawai kemajuan negeri Pulau Pinang, pengarah belia dan sukan negeri dan presiden Majlis Beliau Pulau Pinang.

Semua 21 badan gabungan Majlis Belia Negeri Pulau Pinang dijemput dan jumlah peserta daripada persatuan belia setempat yang hadir adalah kira-kira 1,000 orang. Dalam perhimpunan tersebut, beberapa anugerah beliau negara peringkat negeri Pulau Pinang, dikurniakan kepada belia dan persatuan belia negeri.

"Walaupun konsep "1Belia 1Malaysia" dilaung-laungkan oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan, namun tindakan Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Belia dan Sukan Pulau Pinang mengenepikan kerajaan negeri adalah bersifat hipokrit.

"Kedua-dua jabatan Persekutuan tersebut bagaikan menyampaikan mesej "2 Malaysia" di mana aturcara kerajaan persekutuan tidak boleh melibatkan kerajaan negeri," tambah mereka.

Menurut mereka, sikap dan tindakan jabatan persekutuan tersebut bukan sahaja amat mendukacitakan tetapi merupakan satu pengaruh negatif kepada para belia kerana lebih mengutamakan perbezaan politik daripada mengutamakan pembangunan dan perpaduan belia.

"DAPSY menggesa perdana menteri dan menteri belia dan sukan memberikan penjelasan kepada para belia Pulau Pinang berhubung isu ini dan juga mengambil tindakan terhadap kedua-dua jabatan persekutuan tersebut, kerana telah melanggar dan mengagalkan slogan "1Malaysia" yang dipelopori oleh perdana menteri," kata mereka.

ADS