Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muhyiddin: Beri BN peluang
Diterbitkan:  Jul 6, 2009 3:57 PM
Dikemaskini: 8:07 AM

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta pengundi di Manek Urai - yang majoritinya Melayu - supaya memberi peluang kepada BN untuk meneruskan agenda pembangunan di kawasan itu.

Katanya, BN akan menekankan bahawa pembangunan fizikal perlu selari dengan konsep pembangunan Islam yang dibawa PAS selaku kerajaan negeri Kelantan sejak 1990.

Seramai 99.2 peratus daripada 12,293 pengundi di kawasan DUN Manek Urai adalah orang Melayu.

Sehubungan itu, katanya, peranan jentera BN untuk memberi penerangan kepada pengundi, amat penting bagi menjelaskan hasrat dan harapan BN kepada rakyat di Manik Urai, lapor Bernama.

"Kita kena damping dengan pengundi untuk betulkan pandangan serong yang dibangkitkan lawan termasuk oleh Menteri Besar (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat)," katanya

kepada pemberita di pusat penamaan calon di Dewan Petra, Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra 1, di Kuala Krai hari ini.

Pilihanraya kecil itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat, 39, dengan calon PAS Mohd Fauzi Abdullah, 50.

Tuan Aziz ialah bekas pegawai Kesedar manakala Mohd Fauzi ialah seorang pemborong ikan.

Nafi pengundi taksub

Muhyiddin yang juga timbalan perdana menteri yakin BN mampu mengulangi kejayaannya di Pengkalan Pasir pada Disember 2005 jika semua pihak memainkan peranan.

Muhyiddin turut menolak andaian pengundi Manek Urai taksub dengan pemimpin.

Oleh itu, beliau juga mengingatkan bahawa kemantapan jentera BN khususnya untuk menangkis dakyah parti lawan di Manek Urai.

Katanya, faktor calon yang baik tidak memadai jika tidak dibantu dengan kerja keras jentera parti di semua peringkat untuk memenangi hati pengundi.

"Harapan (untuk menang) itu ada, tapi secara ikhlas kita perlu kerja keras.

"Jurang antara kita dan lawan semakin rapat. Perlu komitmen dan kesungguhan dan kerja kuat jentera parti," katanya.

Mengakui bahawa Manek Urai ialah kubu PAS, Muhyiddin menolak persepsi bahawa sentimen pengundi tidak memihak kepada BN.

"Apa yang penting tunjukkan BN parti yang ingin bantu rakyat dan wakili semua kaum," katanya.

ADS