Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 3.54pm Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa mungkin "malu mata" hendak datang berkempen dalam pilihanraya kecil Manek Urai, kata Pengarah Pilihanraya PAS Kelantan.

nasharuddin mat isa "Tidak ada masalah, cuma barangkali mereka segan hendak mari. Tidak tahulah sebabnya, malu mata," kata Abdul Fatah Haron dalam sidang media harian PAS di markaz induknya di Manek Urai.

Abdul Fatah diminta mengulas sama ada ketidakhadiran Nasharuddin - yang dikecam Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat kerana menyokong kerajaan perpaduan - boleh menjadi beban kepada PAS untuk memenangi kerusi tersebut.

Calon PAS Mohd Fauzi Abdullah, juga popular digelar dengan Abe Uji, turut hadir.

Ditanya tentang jadual ahli parlimen Bachok itu, Abdul Fatah berkata, mereka tidak menyediakan jadual awal untuk kempennya di kawasan itu, sebaliknya ia dibuat secara harian.

Katanya, beliau tidak mempunyai kuasa untuk menawarkan sesiapa datang berceramah dan berkempen di situ kerana ia di bawah bidang kuasa "orang atas".

Sementara itu, berhubung ketiadaan poster presidennya, Abdul Fatah menafikan poster Datuk Seri Abdul Hadi Awang belum dinaikkan di semua tempat tetapi ia sudah beredar di kampung-kampung.

manek urai by election pas nik aziz hadi awang tuan aziz bn posters 070709 02 "Tidak betul, gambar presiden ada di merata tempat, tetapi tidak di jalan raya. Di kampung-kampung ia sudah beredar," katanya sambil menyifatkan poster PAS yang dibuat daripada kertas tidak sesuai ditampal awal.

"Boleh kata di semua kampung, boleh kata semua rumah, kecuali lalauan utama. Sebab poster kita dibuat daripada kertas, angin lalu habislah.

"Lepas ini jalan utama pula sebab sasaran utama kita pengundi. Laluan utama ini macam pesta untuk orang luar sahaja, insya Allah selepas ini kita tampal."

Malaysiakini pernah melaporkan PAS Kelantan mengambil sikap awal tidak menaikkan poster Abdul Hadi - yang bercanggah pendapat dengan Nik Aziz, yang juga mursyidul am PAS, berhubung kerajaan perpaduan - dalam strategi "melokalisasi" kempennya.

Setakat ini, Abdul Fatah berkata, PAS mendapat sokongan lebih daripada 50 peratus sokongan pengundi setempat.

Abe Uji pula berkata PAS tidak akan mengulangi kekalahan dalam pilihanraya kecil DUN Pengkalan Pasir pada 2005 apabila Umno sebagai parti underdog mengalahkan calon parti Islam itu.

"Tak berlaku dah, kena hati-hati. Kita jadikan iktibar di sini," katanya.

ADS