Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pelantikan pengerusi baru Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) Wilayah Persekutuan (WP) menggantikan Mohd Fazil William Abdullah bersifat sementara, kata Pengerusi Kimma, Syed Ibrahim Kader.

Beliau menjelaskan demikian sebagai menjawab dakwaan Mohd Fazil bahawa beliau telah dipecatkan daripada parti itu pada 30 April lalu.

Sehubungan itu, timbalan pengerusi Kimma, Mohamad Mosin Abdul Razak telah dilantik menggantikan Mohd Fazil.

NONE Syed Ibrahim menambah, tindakan tersebut untuk memberi peluang kepada Mohd Fazi memastikan semua 12 cawangan Kimma di WP mengadakan mesyuarat agung masing-masing.

Katanya, kesemua 12 cawangan Kimma di WP gagal mengadakan mesyuarat agung.

"Ia bersifat sementara waktu sehingga Mohd Fazil menyelesaikan masalah tersebut, sebelum dikembalikan jawatannya.

Perbetulkan kelemahan

"Kita lantik Mosin, buat sementara sahaja. Kita panggil dia, terang kepadanya perkara ini. Kita tak pecat dia.

"Kita hantar Mosin, orang yang ada kuasa supaya dapat mengurus masalah di Wilayah Persekutuan kerana kita nak memperbetulkan kelemahan di negeri itu.

"Itu sahaja, bukan apa-apa," kata Syed Ibrahim ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Syed Ibrahim berkata Mohd Fazil telah dimaklumkan mengenai keputusan tersebut Mei lalu.

Oleh itu, katanya, adalah tidak benar dakwaan Mohd Fazil bahawa beliau telah dipecatkan daripada jawatan tersebut April lalu.

NONE Dalam pertemuan dengan Malaysiakini semalam, Mohd Fazil bagaimanapun mendakwa beliau telah dipecat dari jawatan pengerusi Kimma WP.

Mohd Fazil berkata, ia berdasarkan kepada surat yang memaklumkan pelantikan pengerusi baru menggantikan beliau.

'Tak ikut perlembagaan?'

Sehubungan itu, Mohd Fazil mendakwa tindakan Syed Ibrahim itu "tidak mengikut perlembagaan" parti berkenaan.

Beliau mendakwa presidennya tidak mempunyai kuasa untuk memecat beliau sebagai pengerusi perhubungan Kimma WP.

Katanya, perlembagaan parti jelas menunjukkan empat jawatan utama - pengerusi, timbalan pengerusi, setiausaha dan bendahari - di peringkat negeri hanya boleh dilantik melalui undi sulit.

"Saya dipilih sebagai pengerusi perhubungan oleh semua cawangan di Wilayah Persekutuan pada 17 Mac tahun lalu.

"Jadi bagaimana presiden (Syed Ibrahim) boleh singkirkan saya begitu saja? " katanya.

Mohd Fazil juga mendakwa terdapat "sebab tersembunyi" kerana beliau lantang bersuara terhadap Syed Ibrahim.

Sementara itu, Syed Ibrahim pula berkata, tindakan tersebut bertujuan untuk membolehkan Mohd Fazil mengadakan mesyuarat cawangan dan menghantar laporan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Saya minta dia (Mohd Fazil) buat mesyuarat cawangan, jangan buat aktiviti lain, selepas itu kita beri jawatan itu kembali.

Mesyuarat tahunan

"Dia tidak hantar kepada ROS tentang penyataan kewangan, sejak 2006. Kita beri peringatan kepada dia, setiap tahun buat mesyuarat, tapi dia tak boleh buat mesyuarat.

"Saya suruh Mohd Fazil kemaskini cawangan, buat mesyuarat tahunan, hantar laporan tahunan kepada ROS," katanya.

Syed Ibrahim juga berkata, beliau juga membuat semakan dengan ROS dua hari lalu, tetapi tidak ada laporan yang dihantar kepada jabatan tersebut.

Mengenai dakwaan Mohd Fazil bahawa ketua Pemuda dan ketua Wanita pusat sebelum ini tidak aktif, Syed Ibrahim berkata:

"Memang dia mempertikaikan, tetapi selepas mesyuarat tahunan itu, saya sudah tukar kepada ketua Pemuda dan Wanita yang baru. Dia cakap macam tu, kita tukar," katanya.

Syed Ibrahim juga menolak dakwaan Mohd Fazil yang menyatakan bahawa beliau "tidak kisah kepada orang lain".

"Dakwaan itu tidak boleh diterima. Itu satu tuduhan liar. Kita ada 80,000 ahli seluruh negara, bolehkah buat kerja seorang diri?

"Jika lakukan seorang diri, boleh jalan kerja? Mana boleh," kata Syed Ibrahim sambil menambah bahawa ahli Kimma mampu menilai sama ada beliau layak memimpin Kimma ataupun tidak.

ADS