PPSMI: Dr Mahathir minta undian pembaca blog

kemaskini 4.08pm Bagi menguji sikap terhadap dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan undian isu tersebut di blognya mulai hari ini.

"Saya tidak terperanjat mendengar kekecewaan dan malah kemarahan terhadap kerajaan berhubung keputusan (memansuhkan) pengajaran Matematik dan Sains," katanya petang ini.

"Nampaknya, kerajaan tidak mendengar suara rakyat."

NONEMenulis di blog peribadinya, mantan perdana menteri berkata "mungkin undian di blognya boleh mencelikkan mata kerajaan bagaimana pendapat orang ramai" berhubung keputusan semalam.

Dasar kontroversi PPSMI dimansuhkan sepenuhnya mulai 2012 seperti diumumkan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selepas jemaah menteri menyokong pembatalan dasar yang diperkenalkan oleh Dr Mahathir pada 2003.

Susulan keputusan terbaru kerajaan, di sekolah kebangsaan, bahasa Melayu akan menggantikan bahasa Inggeris untuk mengajar dua matapelajaran itu, manakala sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil akan menggunakan bahasa ibunda masing-masing.

Soalan yang ditanya di undian Che Det berbunyi "Apakah anda menyokong keputusan kerajaan untuk mengajar Matematik dan Sains dalam Bahasa Malaysia?".

Pembaca yang menyokong pemansuhan PPSMI harus menjawab "ya", dan mereka yang ingin mengekalkan dasar tersebut "tidak".

Setakat jam 4.08 petang, 1,880 undi atau 72 peratus menolak pemansuhan PPSMI, manakala 520 undi menyokong pengumuman kerajaan semalam.

"Saya akan cuba memaklumkan kepada kerajaan tentang pendapat anda," kata Dr Mahathir lagi.

Semalam, beliau menafikan bersetuju dan menerima pemansuhan dasarnya itu, sekali gus bertentangan dengan kenyataan Muhyiddin sewaktu mengumumkan perkara berkenaan.

"Kerajaan sudah buat keputusan. Saya cuma diberi taklimat, saya cuba beri cadangan, minta kalau tak boleh dibuat semasa sekolah rendah, sekurang-kurangnya di sekolah menengah, tapi mereka tolak dan tak terima.

"Jadi itu bukan consultation (perundingan), tapi cuma taklimat," Dr Mahathir dipetik berkata.

Tokoh utama di belakang PPSMI itu juga dilaporkan berkata beliau "sedih kerana anak-anak akan jadi mangsa" dasar mengajar bahasa ibunda bagi Matematik dan Sains.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.