Gamis tubuh sekretariat rejuvenasi pendidikan Islam

       

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) akan berusaha untuk mengintegrasikan pendidikan Islam kepada bukan Islam dan memperjuangkan Islam dalam sistem pendidikan supaya tidak dilihat sebagai subjek semata-mata.

Perkara tersebut adalah antara cadangan gerak kerja sekretariat bertindak rejuvenasi sistem pendidikan Islam di Malaysia yang bakal dibentuk.

Pembentukan sekretariat tersebut merupakan resolusi yang diputuskan dalam kongres pertama rejuvenasi sistem pendidikan Islam negara (Ko-Spin), Sabtu lalu di Auditorium Muzium Shah Alam, Shah Alam.

interview with gamis 020709 siti nurul munawirah roslan Pengarah Ko-Spin, Siti Nurul Munawirah Mohamad Roslan berkata, pihaknya tidak mahu Islam itu dilihat bersifat eksklusif, yang khusus untuk orang Islam sahaja.

Sebaliknya, kata beliau, pihaknya mahu Islam dilihat sebagai agama yang bersifat inklusif.

"Ciri-ciri Islam dapat disebarkan kepada bukan Islam, dengan menyatakan bahawa Islam itu syumul, agar mereka tidak prejudis kepada Islam," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Siti Nurul Munawirah yang juga setiausaha agung Gamis berkata, kongres sehari itu dihadiri kira-kira 400 peserta termasuk wakil NGO seperti Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma).

Katanya, seorang peserta tunggal bukan Islam yang hadir, memuji penganjuran kongres tersebut bagi membolehkan beliau mengenali Islam dalam sistem pendidikan.

Beliau berkata, peserta tersebut daripada salah sebuah institusi perguruan berpendapat pendidikan dalam Islam dapat mesejahterakan manusia yang turut mementingkan jasmani, emosi dan intelektual.

Lantik Prof Naquib penasihat

Dalam perkembangan berkaitan, sekretariat yang bakal dibentuk itu akan bertanggungjawab menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memperkasakan sistem pendidikan dan memartabatkan profesion perguruan.

"Kita mahu penyerapan kaedah-keadah dalam Islam yang mementingkan kajian dan tidak hanya mementingkan hanya buku teks (menghafal) dan meluahkannya dalam peperiksaan," katanya.

Katanya, Gamis juga diminta untuk bertemu dengan pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Sidek Baba bagi mendapatkan modul sistem pendidikan Islam dalam usaha untuk membina identiti dan sahsiah serta membangunkan modal insan.

Dalam usaha untuk memantapkan sekretariat tersebut, Siti Nurul Munawirah berkata, Gamis berhasrat melantik tokoh intelektual, Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas sebagai penasihatnya.

Katanya, ini kerana tokoh tersebut adalah tokoh pemikir Islam yang amat disegani di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa.

"Amat rugi kalau beliau dipuji di luar (negara) tetapi kita tidak melantiknya sebagai penasihat," katanya.

Menurutnya, beberapa NGO telah menyatakan kesediaan mereka untuk berkerjasama dengan sekretariat tersebut, antaranya, Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Syura) dan Teras Keupayaan Melayu (Teras).

Malaysiakini
terkini untuk anda