Ramai beratur ambil wang di MU

Kira-kira 40 dilihat beratur di hadapan sebuah rumah kayu dalam kawasan bangunan pejabat Kesedar, yang terletak kira-kira 50 meter dari pusat mengundi di SK Peria.

Malaysiakini nampak mereka menghulurkan kad pengenalan masing-masing kepada beberapa petugas di depan pintu rumah tersebut.

NONEBeberapa orang yang bertugas di situ memegang senarai nama yang didakwa pengundi yang tinggal di luar Manek Urai dalam daftar pemilih.

Petugas terbabit kemudiannya memanggil nama dari senarai berkenaan dan mereka yang beratur di situ akan menunjukkan kad pengenalan masing-masing bagi mengesahkan identiti mereka.

Seorang lelaki warga emas yang pulang dari Kuala Lumpur untuk mengundi, memberitahu Malaysiakini bahawa mereka menerima RM300 jika nama mereka terdapat dalam senarai tersebut sebagai elaun tambang.

Wartawan melihat sendiri orang ramai menunjukkan kad pengenalan mereka kepada petugas di situ dan kemudian keluar sambil memegang beberapa keping wang tunai RM50.

Tidak kelihatan sebarang logo parti politik tetapi terdapat sebuah kereta Proton Wira warna putih bersama logo Kesedar di depan rumah tersebut, tempat orang ramai beratur.

Seorang petugas lelaki yang berbaju putih memanggil nama mereka yang beratur. Difahamkan beliau merupakan tuan rumah bagi ceramah "Pentas Pemuda" di Sungai Peria beberapa hari lalu.

Mafrel, polis siasat rumah kayu

Sementara itu, pemantau piihanraya, Mafrel, telah pergi ke rumah kayu tersebut dengan ditemani anggota polis pada jam 11.30 pagi, ekoran dakwaan pemiliknya membayar RM300 kepada pemilih yang tinggal di luar Manek Urai, yang pulang mengundi hari ini.

Pemilik rumah tersebut, ketika ditemui pihak Mafrel sebelum itu, menghalang mereka daripada masuk ke dalam.

Lelaki itu berkata:"Ni dah janji daripada Kuala Lumpur untuk bagi pada mereka sebagai transportation allowance (elaun tambang), ini sama dengan PAS, awak tak buat pulak."

Wakil Mafrel berkata, beliau bukan dari PAS tetapi dari badan bukan kerajaan.

"Kita tidak memihak... jika ada laporan, kami akan siasat," katanya.

Lelaki berkenaan yang menganjurkan ceramah untuk seorang pemimpin Pemuda Umno minggu lalu, tetap tidak membenarkan mereka masuk ke dalam, dan berkata:

"Awak semua tak boleh masuk, ini duit politik Datuk Aziz," katanya.

Bagaimanapun, apabila Mafrel tetap bertegas, mereka dibenarkan masuk dengan diiringi anggota polis.

Wartawan Malaysiakini: Kuek Ser Kuang Keng, Hafiz Yatim, Jimadie Shah Othman, Wong Teck Chi, Ng Kok Fong dan Amiruddin Abdullah.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.