Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Speaker perjelas takrif 'dewan' S'gor
Diterbitkan:  Jul 14, 2009 5:17 PM
Dikemaskini: 10:02 AM

Speaker Dewan Undangan Negeri Teng Chang Khim hari ini menakrifkan kawasan pekarangan dewan di mana ADUN bertugas bermula dari pintu masuk utama Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor sehingga ke dewan persidangan.

"Pekarangan dewan termasuk kawasan letak kereta bagi Anggota Dewan Undangan Negeri di Dataran Setiausaha Kerajaan Negeri kerana para ADUN meletakkan kenderaan mereka ke situ untuk bertugas dan bukan untuk ke pasar atau atas urusan lain," katanya ketika memberi penjelasan kepada soalan Yap Ee Wah (BN-Sungai Pelek) mengenai takrif pekarangan dewan semasa sesi perbahasan hari ini.

Teng berkata: "Berdasarkan amalan Parlimen Komanwel, sesuatu tindakan termasuk saman terhadap percakapan kepada wakil rakyat di kawasan dewan boleh disifatkan sebagai menghina kedudukan DUN, lapor Bernama.

"Tindakan ini termasuklah pekarangan DUN. Maka, apa yang dimaksudkan pekarangan ini adalah kawasan yang bermula di pintu masuk utama SUK hinggalah ke dalam dewan," katanya.

Takrif pekarangan dewan menjadi isu hangat semalam apabila Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dihalau keluar dari dewan semasa sesi perbahasan kerana enggan menarik balik kata-katanya bahawa Speaker berat sebelah (bias).

Semalam, Teng mengingatkan Dr Khir dan peguam beliau bahawa mereka telah menghina dewan kerana menyerahkan saman malu kepada ADUN Sekinchan Ng Suee Lim di pekarangan dewan Khamis lepas.

Saman malu berkenaan dengan dakwaan Ng bahawa Dr Mohamad Khir memiliki banglo dan dua lot tanah bernilai RM24 juta sedangkan Dr Mohamad Khir mendakwa aset-aset itu dibeli dengan harga RM3.5 juta tiga tahun lepas melalui pinjaman HSBC Bhd dengan bayaran balik 30 tahun.

Bagaimanapun takrifan dewan dan pekarangan dewan itu tidak dipersetujui Dr Mohd Khir kerana baginya dewan ialah tempat ADUN bersidang dan mereka dilindungi daripada tindakan mahkamah manakala kekebalan ADUN tidak terpakai di kawasan pekarangan.

Ekoran itu, Dr Mohamad Khir kemudian mengeluarkan kata-kata "Speaker bias" dan beliau enggan menarik balik katanya-katanya itu serta memohon maaf kepada Speaker mengakibatkan beliau dihalau keluar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS