Lapan pelajar sebuah sekolah agama di Limbang dijangkiti influenza A (H1N1) menjadikan jumlah kes di Sarawak meningkat kepada 45 setakat ini - 23 kes import dan 22 jangkitan tempatan.
Seramai 10 lagi pelajar sebuah sekolah sains di Kuching pula kini masih menunggu keputusan ujian kesihatan dari Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Kuala Lumpur - dijangka diketahui esok.
Susulan kes terbaru itu, Sekolah Menengah Agama Kerajaan (SMAK) Limbang dan SMK Sains Kuching diarah tutup bermula hari ini sehingga 23 Julai.
Statistik menunjukkan bahawa 17 daripada jumlah kes yang dilaporkan di negeri tersebut, setakat ini: Miri (tujuh kes import dan 10 jangkitan tempatan), 16 kes di Kuching (12 import dan empat
jangkitan tempatan), sembilan kes dari Limbang (satu import dan lapan tempatan), dua kes import di Bintulu dan satu kes import di Sibu.
Sementara itu, bagi perkembangan seluruh negara, 13 lagi kes baru termasuk 12 tempatan disahkan hari ini.
Perkembangan terkini menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 848 kes - membabitkan 563 kes import dan 285 jangkitan tempatan.
