Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan 13 penerbitan kerana mengandungi penulisan yang tidak bermoral dan tidak sesuai untuk bacaan umum.
Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran Abdul Aziz Abdul Latif berkata sekiranya penerbitan itu dibiarkan, ia boleh memudaratkan moral masyarakat.
Penerbitan itu: Cinta Awak Dalam Sehari , Pengantin Remaja , Masalah
Seksual Yang Anda Malu Tanya
, Rahsia Dalam Rahsia Di Sebalik Tirai Kamar Suami Isteri , Isteri Romantik di Kamar Yang Indah dan Suami Romantik di Kamar Yang Indah .Turut diharamkan: Senggama Kubur , Rintihan Jiwa Seorang Lesbian , Oh Fazrah , Serakah Anak-anak Zombie , Menyingkap Rahsia Keistimewaan Wanita , Permata Gemilang dan Khazanah Mutiara Hikmah Suami Isteri dan Bakal Pengantin .
"Pewartaan Perintah Larangan ini adalah menurut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan 1984 dan adalah menjadi satu kesalahan menurut subseksyen 2 Seksyen 8 akta itu sekiranya mana-mana orang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk
menjual, mengedar atau memiliki bahan penerbitan larangan yang dilarang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Abdul Aziz berkata jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
