Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Korban kedua H1N1 di Malaysia
Diterbitkan:  Jul 27, 2009 4:14 PM
Dikemaskini: 10:27 AM

kemaskini 5.18pm Wabak selesema A (H1N1) memakan korban kedua - lelaki 46 tahun yang meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Subang Jaya, 12.35 tengahari semalam.

Lelaki tersebut dilaporkan mati akibat "pneumonia teruk dengan kegagalan pernafasan bersama kejutan septisemia dan kegagalan buah pinggang akut" selepas tujuh hari di unit rawatan rapi di hospital swasta di Subang Jaya.

Rakyat tempatan itu yang bekerja di Belgium pulang pada 4 Julai lalu mula mengalami demam serta batuk selepas bercuti bersama keluarga di Langkawi pada 13 Julai.

NONE

Si mati kemudian mendapat rawatan di hospital swasta di Petaling Jaya pada 16 Julai dan pemeriksaan dada menunjukkan korban mengalami pneumonia, kata ketua pengarah kesihatan.

"Kes dirujuk ke hospital swasta yang lain di Subang Jaya pada 19 Julai untuk rawatan di unit rawatan rapi.

"Ujian sampel tekak buat pada 22 Julai dan sahkan positif influenza A (H1N1) oleh Institut Penyelidikan Perubatan pada 23 Julai," kata Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Pada 23 Julai lalu, seorang pelajar Indonesia berusia 30 tahun yang menuntut di Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur menjadi korban pertama berkaitan wabak selesema A (H1N1).

Menurut kenyataan rasmi Dr Mohd Ismail, daripada 49 kes terbaru hari ini, 29 kes daripadanya di sembilan gugusan penularan baru dan 13 lagi kes daripada empat gugusan sedia ada.

Tujuh kes selebihnya, termasuk satu kes kematian itu, dikelaskan sebagai kes terpencil.

Jumlah terkumpul kes influenza A (H1N1) hingga kini 1,124 kes, termasuk 550 kes jangkitan tempatan.

Maklumat berkaitan kes terbaru di sembilan gugusan penyakit seakan-akan selesema (ILI) seperti berikut:

bullet button Lima kes di kalangan pelajar Kolej Teknologi Islam Antarabangsa Kuala Sungai Baru, Melaka. Seramai 58 dari 1,477 orang pelatih dan kakitangan institut berkenaan dikesan mengalami gejala ILI sejak 23 Julai.

Kolej tersebut ditutup Sabtu lalu sehingga 1 Ogos.

bullet button Dua kes di SMK Batu Laut, Kuala Langat, Selangor. Terdapat 18 pelajar daripada keseluruhan 625 pelajar dan kakitangan yang mempunyai gejala ILI bermula dari 23 Julai.

Sekolah ini ditutup bermula Khamis lalu sehingga 30 Julai.

bullet button Empat kes melibatkan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor. Terdapat 282 pelajar bergejala ILI bermula 21 Julai. Universiti tersebut ditutup dengan memberikan cuti semester lebih awal sejak Sabtu lepas hingga 2 Ogos.

bullet button Tiga kes di SMK Bako, Kuching, Sarawak. Terdapat 41 orang daripada 1,549 warga sekolah mempunyai gejala ILI sejak 17 Julai. Pejabat Kesihatan Daerah sedang memantau kejadian ILI di sini.

bullet button Tiga kes positif di sebuah kelas di SMJK Cina Katholik, Petaling Jaya, Selangor. Terdapat empat daripada 49 pelajar mempunyai gejala ILI sejak 21 Julai.

bullet button Lima kes di SM Teknik Perdagangan Johor Bahru, Johor. Terdapat 59 daripada 994 pelajar dan guru mempunyai gejala ILI bermula 22 hb Julai.

Akibatnya, sekolah ini telah ditutup mulai Jumaat hingga 30 Julai.

bullet button Empat kes didapati positif di SMK Bandaraya, Kota Kinabalu, Sabah. Terdapat 23 daripada 240 pelajar asrama mempunyai gejala ILI sejak 25 Julai dan sekolah ini ditutup mulai semalam hingga 2 Ogos.

bullet button Satu kes didapati positif di SM Agama Kota Kinabalu, Sabah. Terdapat enam daripada 470 warga sekolah mempunyai tanda ILI dari 25 Julai dan sekolah ditutup mulai semalam hingga 2 Ogos.

bullet button Dua kes di SM La Salle, Tanjung Aru, Sabah. Empat daripada 800 pelajar mempunyai gejala ILI dari 21 Julai.

Pejabat Kesihatan Daerah sedang memantau sekolah ini.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Kementerian Pelajaran merancang mengedarkan alat mencegah jangkitan virus wabak itu ke semua sekolah, membabitkan peruntukan RM3.6 juta.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Induk 3K (Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan) bagi mengedarkan termometer, topeng muka dan hidung serta cecair penyahkuman.

"Ini langkah terbaik dalam usaha kementerian mencegah H1N1. Pemakaian topeng muka dan hidung serta bahan penyahkuman juga merupakan sebahagian latihan kebersihan di kalangan murid," beliau dipetik berkata selepas taklimat perkembangan H1N1 di Johor Bahru hari ini.

ADS