dikemaskini Datuk Seri Najib Razak hari ini memotong pulut kuning bersempena sambutan hari lahir ke-56 beliau yang jatuh pada 23 Julai lalu sebelum mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno.
Perdana menteri dan juga presiden Umno tiba pukul 3 petang di ibu
pejabat parti di Menara Dato' Onn dengan disambut timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau kemudian meluangkan masa kira-kira 45 minit di perkarangan menara menikmati hidangan buah-buahan bersama anggota MT lain sebelum naik ke Tingkat 39 untuk memulakan mesyuarat.
Dalam sidang media selepas mesyuarat bulanan MT, Najib mengumumkan bahawa Umno bersedia mencabar PAS pada pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir di Pulau Pinang yang kini kosong selepas penyandangnya Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman meninggal dunia awal pagi ini.
Mengulas demonstrasi besar anti-ISA petang esok, Najib menyifatkan ia sebagai "tidak mendatangkan apa-apa kebaikan" dan "berdemonstrasi tidak menghuraikan apa-apa untuk dipertimbangkan oleh kerajaan."
Beliau kemudian menegaskan kerajaan akan tetap menyemak akta kontroversi itu - seperti janjinya sewaktu dilantik sebagai perdana menteri keenam awal April lalu.
Presiden Umno juga berkata parti itu berpuas hati dengan keputusan pilihanraya kecil DUN Manek Urai baru- baru ini - calonnya Tuan Aziz Tuan Mat berjaya menghakis majoriti PAS sehingga berbaki 65 undi sahaja daripada lebih 1,300 yang diraih pada pilihanraya umum 2008.
