Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, berhubung dakwaan meminta wang habuan daripada sebuah syarikat, hari ini ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan.
Turut dikenakan perintah tahanan reman sehingga 7 Ogos itu ialah dua rakan ADUN terbabit yang dipercayai terlibat dalam meminta wang sogokan itu.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Kemaman, Rofiah Mohamad, lapor Bernama.
Ketiga-tiga mereka kini ditahan di ibu pejabat polis daerah Kemanan untuk siasatan lanjut.
Semalam, ADUN tersebut bersama-sama dua rakannya itu ditahan SPRM kira-kira jam 9.20 pagi di sebuah hotel di Kijal dekat Kemaman, kerana dipercayai meminta habuan antara 10 hingga 13 peratus daripada nilai satu projek landskap bernilai RM2 juta daripada syarikat berkenaan.
Ketika ditahan, terdapat wang tunai RM5,000 pada ADUN itu.
