Kerja meroboh rumah penduduk Kampung Buah Pala di Bukit Gelugor yang sepatutnya dilakukan hari ini, ditunda sehingga esok berikutan pemilik tanah kampung berkenaan Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang (KPKPP) memberi tempoh sehari lagi kepada penduduk untuk berpindah.
Pengerusi KPKPP, Abdul Razak Mansor berkata kawasan itu sepatutnya dirobohkan hari ini, bagaimanapun atas dasar simpati dan kemanusian, pihaknya memberi tempoh sehari lagi bagi penduduk kampung berkenaan memindahkan barang mereka.
Beliau berharap penduduk Kampung Buah Pala dapat memberi kerjasama untuk keluar dari kawasan berkenaan tanpa menimbulkan sebarang kekacauan, lapor Bernama.
Abdul Razak berkata semua anggota KPKPP yang bermesyuarat semalam telah mencapai kata sepakat untuk tidak berkongsi tanah berkenaan seperti cadangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim.Guan Eng.
"Kenapa kami perlu berkongsi tanah berkenaan dengan penduduk kampung sedangkan tanah itu memang milik kami dan mahkamah sendiri telah putuskan ia sah milik KPKPP," katanya.
Abdul Razak berkata cadangan yang dikemukan oleh Lim untuk koperasi berkongsi kawasan berkenaan dengan penduduk Kampung Buah Pala dibuat tanpa berbincang dengan mereka.
"Kerajaan negeri tidak pernah berbincang dengan kita tentang perkara ini dan tiba-tiba sahaja beliau (Lim) cadangkan kami berkongsi tanah berkenaan.
"Itu semua janji politik mereka dan mengapa koperasi perlu akur dengan cadangan berkenaan," katanya sambil menambah bahawa KPKPP tetap berkeras untuk merobohkan kampung berkenaan esok.
