Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Berharap majlis makan malam Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Utusan Melayu baru-baru ini boleh menjayakan lagi tuntutannya, namun hari ini pengerusinya Amran Ahmad terpaksa ke balai polis kerana bimbang nyawa terancam.

Di saat-saat menghadapi tindakan tataterbib oleh majikannya dan risau dipecat, beliau membuat aduan polis terhadap blog yang menggesa beliau "dilanyak habis-habisan" akibat membawa dua ahli politik PKR ke majlis tersebut.

Ahli-ahli parlimen Batu, Tian Chua (foto atas, tengah) dan Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid (foto atas, kiri) turut berucap di majlis tersebut Khamis lalu di tempat letak kenderaan ibu pejabat Utusan Melayu (M) Bhd.

NONE Dalam aduan di balai Pudu, Kuala Lumpur, Amran (foto kanan, tengah) mendakwa satu artikel di blog Ruang Bicara Faisal 2 Ogos lalu "memfitnah, mengugut dan mengancam keselamatannya" sehingga "menyebabkan beliau takut keluar rumah atau ke pejabat" akhbar tersebut di Jalan Chan Sow Lin.

"Saya juga khuatir penulisan oleh blog ini akan memberikan kesan negatif terhadap siasatan dalaman Utusan Melayu yang sedang dijalankan ke atas saya," aduannya tengah hari ini dipetik.

Katanya, artikel tersebut mengaitkannya dengan politik pembangkang dengan mendakwa "Utusan Melayu menerima kehadiran pembangkang DAP."

Ahad lalu, blog yang mendakwa pro-kumpulan akhbar itu dan sering mengecam pembangkang menulis artikel 'Penting! Hantu DAP sudah menyelinap masuk dalam Utusan Melayu'.

Ia menyifatkan Amran sebagai "ejen DAP", antaranya kerana beliau anak bekas pemimpin kanan DAP Ahmad Nor, dan juga melontarkan rasa berangnya kerana membawa dua wakil rakyat PKR itu.

"Maruah Utusan telah dikoyak-koyak, dirobek-robek dan dicincang-cincang oleh perbuatan seekor si kitul ini.

"Kes ini pula saya boleh umpamakan seperti seorang anggota tentera membawa (pemimpin komunis) Chin Peng masuk ke Kementah (Kementerian Pertahanan)," artikel itu dipetik.

"Pernahkah anda dengar DAP menjemput wakil kerajaan ke majlis makan malam mereka?

" Utusan Malaysia dan Umno harus memandang serius perkara ini. Petualang atau si kitul ini harus dilanyak habis-habisan."

Satu salinan artikel berkenaan turut diserahkan kepada polis bersama aduannya, kata Amran dalam laporannya.

Kesatuan itu mewakili hampir 300 wartawan, jurugambar dan artis grafik yang menjadi nadi jabatan pengarang akhbar-akhbar Utusan Malaysia , Mingguan Malaysia dan Kosmo! .

NUJ Utusan masih lagi bergelut untuk mematerai Perjanjian Bersama (CA) penggal 2008 hingga 2011, antaranya, pelarasan gaji sebanyak 10 peratus, kenaikan gaji tahunan RM5, tambahan elaun kenderaan sebanyak RM50 dan pengekalan faedah-faedah lain yang terkandung dalam CA sebelumnya.

Bagaimanapun perjuangan mereka untuk mendapatkan tuntutan CA itu masih gagal walaupun perjanjian lama telah tamat pada 31 Julai tahun lepas - mendorong mereka mengadakan sambutan ulang tahun kegagalan tersebut.

ADS