Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu arak: Umno S'gor kata PAS 'baru bangun dari tidur'

Umno Selangor menempelak PAS Selangor yang menurutnya baru "bangun dari tidur" berhubung isu kontroversi penjualan arak di negeri itu.

"Bagi saya, PAS baru bangun dari tidur, bahawa nampak Islam daripada Umno," kata Ketua Penerangan Umno Selangor, Abdul Syukur Idrus.

"Dulu kata bila jadi kerajaan, nak tutup kilang arak, tapi sampai hari ini, tak tutup," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Abdul Syukur berkata, PAS tidak harus menunggu untuk berdemonstrasi untuk menyelesaikan masalah tersebut.

"Sedangkan PAS Selangor mempunyai seramai tiga orang exconya dalam kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

"Keputusan ada di tangan mereka, sebab mereka sebahagian daripada kerajaan.

"Kenapa tunggu nak berdemonstrasi dan sebagainya. Kalau jadi pembangkang bolehlah. Sekarang ada kuasa untuk menghalang penjualan arak di Selangor," katanya.

Lihat kebijaksanaan PAS

Beliau yang juga ketua Umno bahagian Selayang diminta mengulas tindakan PAS Selangor melancarkan kempen penerangan besar-besaran di seluruh negeri supaya umat Islam menjauhi arak, susulan kontroversi pengharaman minuman itu dengan seorang pemimpin DAP, Ronnie Liu.

Kira-kira 80,000 risalah diedarkan di seluruh negeri mulai selepas solat Jumaat lalu.

Selain risalah dicetak untuk diedarkan, PAS Selangor turut menggantung kain rentang bertulisan "Bebaskan Umat Islam daripada Najis Arak" di tempat tumpuan umum dan simpang jalan utama di negeri itu.

Abdul Syukur yang juga ADUN Kuang berkata, Umno Selangor mahu melihat kebijaksanaan PAS menangani isu tersebut.

"Mereka boleh buat keputusan. Apakah PAS boleh menguasai Pakatan Rakyat dan menjadi wakil kepada orang Melayu?

"Kita nak tengok kebolehan PAS. Mereka juga ingat bahawa mereka jauh lebih Islam daripada Umno.

"Kita lihat apa yang akan berlaku. Jika gagal, berhenti jadi kerajaan," katanya.

ADS