Dr Anwar sasterawan negara ke-10

Datuk Dr Mohd Anuar Rethwan atau nama lebih popularnya Anwar Ridhwan hari ini diumumkan sebagai Sasterawan Negara ke-10.

NONEPemilihan beliau diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada sidang media di pejabat di Putrajaya.

Pengumuman menteri pelajaran boleh dianggap sebagai hadiah ulang tahun kelahiran Dr Anwar ke-60 yang baru merayakannya 5 Ogos lalu.

Anak kelahiran Sungai Besar, Selangor itu menerima hadiah wang tunai RM60,000, termasuk kemudahan mencipta karya sastera, kemudahan menerbit karya dan kemudahan perubatan percuma kelas satu di hospital kerajaan.

Sebanyak 50,000 naskhah daripada karyanya juga dijamin akan dibeli kerajaan. Karyanya yang sesuai pula akan diterjemah kepada bahasa asing.

Dr Anwar akan menerima anugerah berprestij itu daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 20 Ogos ini di Kuala Lumpur.

Sebagai budayawan yang kritis dan mengolah isu kuasa dalam karyanya, Dr Anwar turut lantang mempertikaikan dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Bekas pengarah penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu yang terkenal dengan novel Naratif Ogonshoto – satira politik yang mengecam kerakusan orang berkuasa.

NONEPemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada 2000 melalui novelnya itu turut terkenal dengan novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan Arus.

Dr Anwar menghasilkan empat novel, empat kumpulan cerpen, empat drama, sebuah kumpulan sajak dan tiga buku esei. Selain Naratif Ogonshoto dan Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, drama Yang Menjelma dan Menghilang diterjemah kepada bahasa asing.

Manakala drama pentasnya pula telah puluhan kali dipentaskan dalam pelbagai majlis.

Lulusan pengajian Melayu Universiti Malaya itu pernah mengikuti program penulisan antarabangsa di Universiti Iowa, Amerika Syarikat pada 1986 dan menjadi profesor pelawat di Tokyo University of Foreign Studies (1997-2000).

Beliau kini bertugas di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) sebagai dekan Fakulti Penulisan.

Beliau sebelum ini dikurniakan Anugerah Sastera Perdana pada 2002 yang dianggap anugerah kedua paling berprestij selepas Sasterawan Negara.

Anugerah yang diperkenalan pada 1979 menjadi pengiktirafan tertinggi kerajaan kepada penggiat sastera bahasa Melayu yang memberi sumbangan cemerlang.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.