Pelawak Param meninggal dunia

   

Pelakon komedi veteran tanah air P Paramasivam atau lebih dikenali sebagai Param, 55, meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dari rumahnya di Taman Setia Gombak, Gombak, pagi tadi.

Beliau mula mengalami sakit jantung sejak 15 tahun yang lepas dan sejak dari itu, keadaan pelawak yang fasih berbahasa Melayu itu, tidak stabil.

NONE Adik kembarnya Parameshvari berkata, Param kelihatan tenat pagi tadi dan menghembuskan nafas terakhir sebelum sempat tiba di hospital.

"Pukul 5 pagi tadi beliau sudah tenat. Melihat keadaannya kami segera membawanya ke hospital bagaimanapun belum sempat sampai di hospital beliau sudah tidak bernafas lagi," katanya ketika ditemui di rumah pelakon itu.

Param mencipta nama bersama-sama dengan beberapa barisan pelakon lain seperti AR Badul, Wazata Zain, Datuk Yahya Sulong, allahyarham Yusni Jaafar dan allahyarham R Jaafar.

Mendiang terkenal antara 1970-an dan awal 1980-an dan banyak berlakon filem Melayu dan drama televisyen waktu itu.

Kali terakhir beliau muncul di layar perak ialah menerusi filem Penyamun Tarbus sekitar tahun 1980-an. Filem-filem lain yang turut dibintangi mendiang antaranya ialah Si Luncai, Si Badul dan Anak Tunggal.

Menurut Parameshvari, Param adalah seorang abang yang bertanggungjawab dan sangat mengutamakan keluarga.

"Beliau abang yang baik, beliau sangat menyayangi keluarganya," kata Parameshvari sambil menitiskan air mata.

Param, yang masih bujang, adalah anak lelaki tunggal daripada enam beradik.

Mendiang berasal dari Negeri Sembilan dan memulakan karier lakonannya pada tahun 1976 sewaktu bekerja di Tampin.

"Beliau akan disemadikan Ahad ini di krematorium Hindu Cheras kerana menunggu tiga orang lagi kakak kami dari Paris dan London yang dijangka tiba selewat-lewatnya petang esok," kata Parameshvari. BERNAMA

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In