Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kematian H1N1 meningkat kepada 62
Diterbitkan:  Aug 16, 2009 12:03 PM
Dikemaskini: Aug 17, 2009 3:03 AM

Tiga lagi kematian dicatatkan akibat influenza A(H1N1) - termasuk dua kanak-kanak - menjadikan jumlah korban penyakit tersebut meningkatkan kepada 62 orang.

Dua kanak-kanak lelaki itu berusia enam dan tiga tahun. Manakala seorang lagi korban ialah seorang lelaki berusia 50 tahun.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata 283 lagi kes baru dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sehingga ini sebanyak 3,857 kes.

Yang berusia enam tahun itu adalah seorang kanak-kanak istimewa yang mengidap Sindrom Down.

Liow berkata, kanak-kanak itu yang juga menghidap penyakit jantung berlubang mengalami penyakit meninggal dunia Khamis lalu.

Dia dimasukkan ke hospital pada 9 Ogos setelah dua hari mengalami simptom H1N1.

Menurutnya, seorang lagi kanak-kanak berusia tiga tahun turut menjadi

korban H1N1 setelah dimasukkan ke hospital pada 1 Ogos kerana demam dan batuk selama lima hari serta sukar bernafas.

"Kanak-kanak itu meninggal dunia pada Jumaat disebabkan "pneumonia yang teruk", katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival Sihat sepanjang Hayat Kawasan Serdang, Selangor di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina, Serdang Baru 1 di sini.

Manakala lelaki berusia 50 tahun itu pula yang meninggal dunia Jumaat lalu setelah dimasukkan ke hospital pada 3 Ogos kerana demam, batuk, cirit birit, muntah dan sukar bernafas.

Liow berkata, lelaki itu meninggal dunia disebabkan oleh "septisemia dengan pneumonia yang teruk".

Disaripada 283 kes baru, Liow berkata, 213 pesakit sedang dirawat di wad biasa dan 33 lagi di rawat di Unit Rawatan Rapi di mana 16 kes mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (tujuh) asma (tiga), obesiti (dua), kecacatan otak (dua), hamil (satu) dan peringkat selepas bersalin (satu).

Sementara itu Bernama melaporkan Liow berkata kementeriannya mendapati masih ramai pesakit yang mengalami simptom H1N1 tidak memberikan kerjasama yanng baik dalam mengawal penularan penyakit itu.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan sekiranya mempunyai simptom H1N1 serta mengingatkan para doktor supaya tidak menangguhkan pemberian antiviral kepada pesakit.

Katanya di bawah Seksyen 12 (1) Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988, etiap orangs yang mengetahui penyakit yang boleh merebak kepada orang awam, dan sengaja tidak mengendahkan larangan dikuarantin sehingga menyebabkan orang lain dijangkiti akan didenda RM2,000 atau dikenakan penalti maksimum sehingga RM10,000 atau dipenjara 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

ADS