Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Inkues: Teoh tiada masalah psikologi
Diterbitkan:  Aug 17, 2009 2:11 PM
Dikemaskini: 7:28 AM

Teoh Beng Hock tidak mempunyai masalah psikologi sehingga boleh mendorongnya membunuh diri, demikian inkues kematian Teoh diberitahu hari ini.

Pakar perunding kanan perubatan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang, Dr Khairul Azman Ibrahim berkata perkara itu diputuskan hasil temuramah yang beliau lakukan terhadap keluarga Teoh sebelum menjalankan bedah siasat ke atas mayat mangsa.

azlan "Saya bertanyakan kepada keluarga mangsa sama ada mangsa mempunyai masalah psikologi, masalah kesihatan dan masalah alkohol dan mereka menjawab tidak," katanya di hadapan Koroner Azmi Muntapha Abas.

Selain itu, Dr Khairul Azman yang menyambung keterangannya pada hari ke-10 inkues berkata beliau turut bertanya kepada anggota keluarga Teoh sama ada mendiang ada berhutang atau dalam keadaan tertekan, merokok atau mengambil dadah dan mereka menyatakan bahawa mangsa ialah seorang yang terbuka dan suka berbincang, lapor Bernama .

Ketika ditanya peguam yang mewakili keluarga Teoh, Gobind Singh Deo tujuan beliau menemuramah keluarga Teoh mengenai latar belakang mangsa, saksi ke-10 itu berkata beliau ingin mengetahui sama ada Teoh mempunyai kecenderungan membunuh diri.

Dr Khairul Azman juga berkata beliau mengetahui bahawa Teoh sepatutnya mendaftar perkahwinannya sehari selepas beliau ditemui mati melalui abang Teoh dan mengetahui bahawa tunang Teoh hamil dua bulan selepas membacanya di akhbar.

"Adakah kamu sahkan mengenai perkara itu (tunang Teoh hamil)," soal Gobind.

Lihat latar belakang

"Tidak. Saya cuma membaca dari akhbar," kata Dr Khairul Azman.

"Jadi berdasarkan fakta-fakta yang kamu perolehi, saya cadangkan bahawa Teoh bukanlah seorang yang cenderung untuk membunuh diri kalau dilihat kepada latar belakangnya," kata Gobind.

"Ya setuju. Kalau melihat kepada latar belakangnya, Teoh adalah seorang yang tegas dan mungkin kalau buat silap, dia akan malu. Pada pendapat saya tiada alasan untuk si mati membunuh diri," kata Dr Khairul Azman.

Pakar forensik itu turut memaklumkan bahawa beliau bertanya kepada abang Teoh sama ada beliau (abang Teoh) mengetahui mangsa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mengapa mangsa disoal siasat oleh SPRM tetapi abang Teoh menjawab beliau tidak tahu.

Selain itu, Dr Khairul Azman berkata ketika beliau bertanya mengenai kemungkinan mangsa meninggal dunia akibat jatuh atau dibunuh, adik perempuan Teoh memberitahu beliau bahawa mangsa tidak mungkin jatuh.

"Tunang mangsa pula banyak berdiam. Nampak dari air mukanya dia pun tidak puas hati dan nak tahu kenapa mangsa boleh meninggal dunia. Jadi saya maklumkan kepadanya saya akan bantu jika ada apa-apa yang disyaki dalam bedah siasat dan saya tidak akan teragak-agak untuk beritahu mereka jika ia kes bunuh," katanya.

Dr Khairul Azman berkata selain keluarga Teoh, beliau turut mendapatkan gambaran dan latar belakang mengenai kejadian itu daripada pegawai penyiasat ASP Ahmad Nazri Zainal.

Menyoal pegawai SPRM

Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh, berkata teori berlakunya pembunuhan dalam kematian Teoh tidak dapat dikemukakan kerana kegagalan pakar patologi, Dr Khairul Azaman, menyoal siasat pegawai SPRM.

Katanya, pakar patologi itu seharusnya menyiasat dan menemuramah pegawai SPRM bagi mengkaji kemungkinan berlakunya unsur-unsur homisid (pembunuhan) dalam kematian setiausaha exco Selangor itu, Julai lalu.

"Saya katakan bahawa oleh sebab kamu tidak bertanyakan pegawai SPRM, maka kamu tidak memperolehi fakta-fakta yang material yang menyebabkan kamu menolak kemungkinan berlakunya homisid," kata Gobind kepada Dr Khairul Azman.

Kepada cadangan itu, Dr Khairul Azman, pakar perunding kanan perubatan forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, berkata: "Bukan tugas saya untuk menyoal siasat polis."

Prosiding menjadi lebih hangat apabila saksi ke-10 itu diasak oleh Gobind beberapa kali mengenai sama ada beliau (Dr Khairul Azman) sebenarnya boleh menyoal siasat pegawai SPRM dan pakar itu menjawab: "Maafkan saya (koroner). Peguam ini bermain kata-kata."

Gobind kemudian bertanya: "Kamu tidak mempunyai bukti untuk menyokong (teori) berlakunya homisid kerana kamu tidak soal dan tidak buat siasatan terhadap pegawai SPRM?" dan Dr Khairul Azman menjawab: "Tiada komen."

‘Ada tanya pegawai penyiasat'

Saksi itu menjelaskan walaupun beliau tidak menemuramah pegawai SPRM tetapi beliau ada bertanyakan butir-butir kes itu daripada pegawai penyiasat.

"Pada pendapat saya adalah memadai untuk mendapat tahu cerita dan gambaran daripada pegawai penyiasat.

"Saya ada tanya pegawai penyiasat, saya diberitahu bahawa si mati telah habis disoal siasat pada sekitar 3.30 pagi, dan boleh dibebaskan tetapi kemudian dia tidur di sofa.

"Saya juga diberitahu pada lebih kurang pukul 5 ke 5.30 pagi si mati dilihat mundar-mandir dalam pejabat itu," kata Dr Khairul Azman.

Beliau kemudian ditanya sama ada pernah mengendalikan kes-kes membabitkan mangsa yang mati didera semasa berada dalam tahanan polis.

Soalan itu dibantah peguam Tan Hock Chuan, bagi pihak kerajaan dengan alasan ia tidak adil untuk dikemukakan kerana mangsa dalam kes ini tidak ditahan dan berada dalam tahanan polis.

Dr Khairul Azman kemudian disoal mengenai kandungan perut Teoh, dan saksi itu menjelaskan: "Tiada kandungan bahan makanan yang ditemui dalam perut si mati."

Beliau berkata ini menunjukkan kali terakhir Teoh makan ialah kira-kira empat jam sebelum kematiannya.

"Saya diberitahu oleh pihak polis, si mati ada diberi air minuman antara pukul 5 ke 5.30 pagi itu."

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam di sini, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan dakwaan salah guna wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di bangunan itu.

ADS