Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rakaman percakapan Teoh bakal dikemuka di mahkamah
Diterbitkan:  Aug 18, 2009 8:32 PM
Dikemaskini: 12:33 PM

Rakaman percakapan Teoh Beng Hock yang diambil pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bakal dikemukakan di Mahkamah Koroner bagi membantu siasatan berhubung kematian setiausaha politik itu Julai lalu.

Koroner Azmil Muntapha Abas yang mendengar prosiding inkues itu akan membacanya dahulu esok sebelum memutuskan sama ada ia relevan atau tidak untuk diserahkan kepada semua pihak yang turut membantunya mengendalikan kes itu.

Peguam yang mewakili kerajaan Malaysia Tan Hock Chuan sebelum itu mencadangkan supaya rakaman percakapan Teoh diserahkan kepada mahkamah dan cadangan itu disokong Pengarah Perundangan SPRM Datuk Abdul Razak Musa, lapor Bernama.

Abdul Razak berkata rakaman itu boleh menunjukkan bagaimana tahap pemikiran dan mental Teoh sepanjang siasatan tetapi peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh membantah kerana pada pendapatnya keterangan itu tidak banyak membantu dan ia tidak akan menunjukkan keadaan sebenar Teoh sebelum meninggal dunia.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan dakwaan salahguna wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.

Pada prosiding hari ini, Pemangku Penguasa Kanan SPRM Mohd Anuar Ismail, 32, memberitahu mahkamah bahawa rakaman percakapan Teoh dibuat pada 16 Julai lalu berhubung siasatan dakwaan salahguna peruntukan ADUN Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah.

Mohd Anuar berkata rakaman itu dibuat antara pukul 1.30 pagi dan 3.30 pagi pada hari itu oleh pegawai SPRM Mohd Nadzri Ibrahim dan beliau sempat memerhatikan keadaan itu antara dua dan tiga minit.

Ketika ditanya Tan sama ada beliau perasan ada apa-apa masalah ketika rakaman dibuat, Mohd Anuar berkata: "Saya ada bertanya pada Mohd Nadzri dan Teoh jika terdapat apa-apa masalah yang timbul semasa rakam percakapan. Mohd Nadzri memaklumkan tiada apa-apa masalah manakala Teoh berdiam diri sahaja."

Mohd Anuar berkata sepanjang Teoh di pejabat SPRM, beliau langsung tidak digari dan rakaman percakapan itu juga dibuat dalam keadaan pintu bilik terbuka.

Katanya selepas menjenguk Teoh dan Nadzri, beliau ke tandas pada pukul 3.30 pagi dan membuat keputusan untuk tidur di bilik solat yang berdekatan dengan tandas sehingga pukul 5 pagi.

Semasa menceritakan mengenai pertemuannya dengan Teoh, Mohd Anuar berkata ia bermula dengan penyiasatannya berhubung dakwaan salahguna peruntukan itu dan Teoh merupakan orang yang bertanggungjawab menguruskan segala dokumen tuntutan Ean.

"Di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) saya dan empat anggota SPRM berjumpa dengan Teoh dan saya meminta beliau mengeluarkan dokumen tuntutan bagi ADUN Seri Kembangan untuk 2008 dan 2009. Beliau akur dengan permintaan saya dan dia letakkan dokumen di bilik mesyuarat.

"Kami membuat semakan di bilik mesyuarat. Setelah semak YB Ean hadir ke situ bersama dengan belasan wartawan. Saya maklumkan pada YB Ean yang saya tidak selesa dengan wartawan yang ramai dan apabila lihat keadaan yang tidak mengizinkan saya turun ke bawah," katanya.

Bagaimanapun kira-kira 25 minit kemudian beliau dan anggotanya naik semula ke pejabat Teoh dan memberitahunya untuk membuat semakan di dalam CPU dan komputer riba milik Teoh.

Katanya selepas Teoh, Ean dan peguam M. Manoharan yang mewakili Teoh berbincang, komputer riba dan CPU itu disita untuk di bawa ke pejabat SPRM. Ketika itu Teoh turut menyatakan persetujuannya untuk turut serta ke pejabat SPRM.

Mohd Anuar berkata beliau tiba di pejabat SPRM kira-kira pukul 6 petang pada hari yang sama (15 Julai) dan ketika berada di pejabat, beliau melihat Teoh berjalan di bahagian pentadbiran di dalam pejabat.

"Ketika saya bertanya Teoh apa yang saya boleh bantu, Teoh berkata kepada saya yang beliau ingin menghubungi Manoharan. Saya benarkannya menghubungi Manoharan dan saya lihat dia ada bercakap dengan seseorang dalam beberapa minit dengan berkata "kamu datang atau tidak". Itu sahaja," katanya.

Ketika ditanya sama ada Manoharan tiba selepas itu, Mohd Anuar berkata: "Tidak."

Selepas itu Mohd Anuar berkata telefon Teoh dimatikan dan beliau bersama Teoh ke bilik rehat pegawai SPRM dan di situ dua pegawai SPRM telah menemuduga Teoh tentang latar belakang keluarga dan kerjanya pada pukul 6.30 petang.

Mohd Anuar berkata selepas itu pada pukul 12 malam beliau keluar dari pejabat SPRM untuk urusan peribadi dan tiba semula ke pejabat antara pukul 12.30 hingga 1 pagi.

Sepanjang tempoh beliau keluar, tidak diketahuinya siapa bersama Teoh dan ketika sampai semula ke pejabat dia tidak bertembung dengan lelaki itu.

Bagaimanapun, beliau telah dimaklumkan pegawainya bahawa Teoh sedang ditemuduga oleh dua pegawai SPRM sebelum Teoh dirakam percakapannya kira-kira pukul 2 pagi oleh Mohd Nadzri.

Perbicaraan disambung esok.

ADS