Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Tahanan ISA nafi tuduhan laku keganasan
Published:  Apr 13, 2002 9:33 AM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM

Bekas pegawai tentera, Yazid Sufaat yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa terbabit dengan pergerakan al-Qaeda mengaku bertemu dengan dua orang Arab di kondominiumnya di Kajang dua tahun lalu.

Bagaimanapun, Yazid mendakwa mereka tidak mungkin terbabit dalam serangan 11 Sept kerana kedua-duanya kudung kaki dan datang ke Malaysia untuk menempah kaki palsu.

Yazid yang juga bekas ahli patologi menjelaskan demikian dalam hujahnya kepada Lembaga Penasihat Kementerian Dalam Negeri di Kem Tahanan Kamunting di Perak, Khamis lalu.

Ini merupakan kali kedua lembaga itu mendengar kes Yazid, 37 tahun, yang kini sedang menjalani perintahan tahanan dua tahun di kem itu di bawah ISA. Kali pertama Yazid membentangkan hujahnya kepada lembaga itu pada 14 Mac lalu.

Lembaga itu kemudiannya akan mengemukakan laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong yang akan memutuskan sama ada Yazid akan dibebaskan. Sekiranya ianya ditolak, lembaga itu akan sekali lagi mendengar hujah Yazid dalam tempoh enam bulan akan datang.

Lembaga penasihat itu dijadualkan mendengar hujah pembelaan Yazid pada 14 Mac lalu, tetapi ianya ditangguhkan apabila beliau menafikan mengetahui mengenai beberapa perkara yang terkandung dalam kenyataan yang didakwa oleh pihak polis, telah dicatat sewaktu Yazid disoalsiasat.

Ketika dihubungi, peguamYazid, Saiful Izham Ramli, berkata hujah pembelaan Yazid itu terkandung dalam afidavit setebal 29 muka, bagi menjawab setiap tuduhan terhadapnya.

Ditanya pendapatnya mengenai sesi pembelaan Yazid Khamis lalu, Saiful mendakwa, ianya tidaklah begitu adilkerana pihak polis enggan menyerahkan kepada mereka beberapa maklumat tertentu yang hanya dikemukakan kepada lembaga penasihat itu sahaja.

Yazid adalah antara 23 orang yang ditahan awal tahun ini kerana didakwa terbabit dalam pertubuhan Jemaah Islamiah, yang dikatakan sebuah unit di bawah Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM), yang merupakan sebahagian daripada rangkaian untuk menggulingkan kerajaan di kawasan Asia Tenggara bagi digantikan dengan kerajaan Islam.

Jemaah Islamiah juga dikatakan mempunyai hubungan dengan pergerakan pengganas al-Qaeda pimpinan Osama bin Laden, yang dituduh bertanggungjawab terhadap serangan 11 September ke atas Amerika Syarikat.

Polis juga mendakwa Yazid turut memberi sumbangan kewangan kepada Jemaah Islamiah untuk mencetuskan keganasan di Kepulauan Ambon di Indonesia,dan juga terhadap tentera Filipina di Mindanao.

Yazid juga dikatakan telah menggunakan kondominiumnya untuk mengadakan pertemuan dengan anggota al-Qaeda, yang identiti mereka tidak didedahkan.

Selain itu, dia juga didakwa telah membeli empat ton bahan ammonium nitrate untuk membuat bom bagi melancarkan jihad terhadap penganut Kristian di Ambon.

Media antarabangsa, yang memetik pegawai-pegawai Malaysia mendakwa bahawa dua anggota al-Qaeda yang berada di rumah Yazid, adalah antara 17 perampas empat pesawat yang merempuh bangunan Pusat Dagangan Dunia New York, dan Pentagon di Washington.

Hanya urusan perniagan

Bagaimanapun, Yazid memberitahu anggota lembaga penasihat itu bahawa beliau telah mewakafkan kondominiumnya itu kepada Persatuan Al-Ehsan, sebuah pertubuhan berdaftar dengan sah, yang turut dianggotainya, untuk menjalankan aktivitinya.

Dalam afidavitnya yang diperolehi oleh malaysiakini , Yazid mendakwa dia tidak tahu apa-apa mengenai tuduhan yang anggota al-Qaedah telah tinggal di kondominiumnya.

Sehubungan itu, Yazid menuntut supaya pihak polis mengemukan bukti mengenai dakwaan itu.

Saya telah bertemu dengan secara tidak sengaja, semasa membawa anak-anak saya pergi berenang di kondominium tersebut, dengan dua orang Arab yang kudung kakinya. Mereka telah memberitahu saya bahawa tujuan mereka ke Malaysia adalah ingin membuat kaki palsu.

Pertemuan tersebut hanya berlangsung lebih kurang 5 minit. Selepas itu saya terus meninggalkan mereka dan tidak pernah bertemu lagi dengan mereka, katanya.

Yazid juga menafikan bahawa dia terbabit dengan sebarang kumpulan militan, dan menjelaskan Persatuan Al-Ehsan adalah sebuah pertubhan yang sah yang mengadakan majlis usrah dan tamrin untuk ahli-ahlinya.

Saya menafikan kami diajar untuk memberontak menggunakan kekerasan dan secara bersenjata bagi menggulingkan kerajaan yang sedia ada serta dipilih oleh rakyat, yang boleh memudaratkan keselamatan Malaysia, tanah air tercinta, katanya.

Katanya, sumbangan kepada pertubuhan Al-Ehsan diagihkan untuk memberi pelbagai bentuk bantuan kebajikan termasuk ubat-ubatan serta bekalan makanan dan pakaian kepada umat Islam yang ditimpa musibah dan penderitaan seperti di Filipina, Indonesia dan Kemboja.

Mengenai tuduhan yang membabitkan pembelian ammonium nitrate, Yazid berkata ianya adalah untuk tujuan perniagaan semata-mata dan ianya telah dijual kepada seorang jurutera Indonesia yang memiliki sebuah kuari di Jawata Barat. Yazid berkata beliau memperolehi keuntungan sebanyak RM8,000 hasil jualan bahan itu.

Yazid juga menjelaskan bahawa dia telah menghubungi beberapa jabatan kerajaan dan telah diberitahu bahawa tiada permit diperlukan untuk membeli bahan tersebut.

Sekiranya saya hanya menguruskan pembelian untuk tujuan jihad , sepertimana yang didakwa, saya tidak akan mengambil sebarang keuntungan dari transaksi tersebut, katanya.

Yazid juga mengkritik kekalutan media, terutama media luar negeri, yang sering memetik pegawai Malaysia untuk mengaitkan dirinya dengan pergerakan al-Qaeda dan serangan 11 September.

Yazid mempersoalkan identiti pegawai Malaysia yang dirujuk dalam laporan media itu, dan menggesa kerajaan menyiasat kerana kenyataan mereka telah menjejaskan nama baik Malaysia, dan sepatutnya merekalah yang harus didakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan ISA.

Rakyat yang bertanggungjawab

Oleh itu, Yazid merayu supaya beliau dibebaskan tanpa syarat dan menyatakan taat setianya kepada negara. Katanya, beliau hanya mengamalkan jihad dalam bidang ekonomi, pendidikan dan sosial.

Tanahair tercinta ini telah banyak berkorban untuk saya dan izinkan saya berkorban untuknya...Saya bukahlah musuh negara tetapi adalah aset kepada negara....Amatlah zalim menganiaya saya dengan menuduh saya ingin mengguling kerajaan dengan kekerasan, katanya.

Kesemua 23 anggotaJemaah Islamiah termasuk Yazid sedang menjalani perintah tahanan selama dua tahun di bawah ISA. Penahanan mereka boleh dilanjutkan untuk tempoh dua tahun lagi.

Walaupun Yazid dengan tegas menafikan semua tuduhan terhadapnya, peguamnya, Saiful memberitahu malaysiakini peluang untuk Yazid dibebaskan adalah tipis memandangkan keadaan dalam negeri sekarang. Saiful bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Selepas peristiwa serangan 11 September tahun lalu, Amerika Syarikat telah memuji kerajaan Malaysia atas tindakannya menahan anggota kumpulan militan di negara ini dalam usaha menentang pengganas antarabangsa.

ADS