Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saman Tiong tidak jejas Ong cakap benar
Diterbitkan:  Aug 21, 2009 5:53 PM
Dikemaskini: 10:42 AM

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat menegaskan tindakan Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) memfailkan saman terhadapnya semalam tidak akan menghalang beliau untuk menegakkan kebenaran berhubung isu pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Beliau berkata KDSB mempunyai hak untuk mengambil tindakan saman berkenaan namun katanya pengumuman oleh pasukan petugas khas Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) khasnya berhubung penemuan bil tuntutan yang dipertikaikan yang menjangkau RM1 bilion tetap perlu beliau tangani.

"Saman ini hak dialah cuma satu yang saya kena cakap di sini... dia (pemegang saham utama KDSB Datuk Seri Tiong King Sing) jangan anggap tokoh korporat seperti dia itu seperti ATM (mesin pengeluaran wang automatik).

"Pada masa yang sama saya juga berpendapat jangan-jangan pula ada sesetengah orang menganggap kerajaan sebagai ATM," katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di sini hari ini.

Semalam KDSB memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur, mendakwa Ong dan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (PKA), Datuk Lee Hwa Beng secara salah mendedahkan hanya beberapa bahagian tertentu dalam laporan audit PriceWaterhouse Coopers Advisory Services Sdn Bhd (PWC).

Sementara itu Ong yang juga presiden MCA berkata beliau akan memfailkan saman terhadap Tiong di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin ini.

"Itu komitmen saya. Saya tidak cakap kosong," katanya mengulas laporan media hari ini berhubung pendiriannya untuk tetap menyaman Tiong berhubung tuduhan pemberian RM10 juta untuk MCA tahun lepas.

Isu PKFZ timbul apabila Tiong selaku pemegang saham utama KDBS iaitu kontraktor projek siapguna PKFZ mengeluarkan kenyataan bahawa Ong telah menerima RM10 juta daripada syarikat itu tahun lepas dan wang tersebut digunakan sebagai perbelanjaan untuk MCA.

Tiong, anggota parlimen Bintulu dan pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional, mendakwa wang itu diserahkan dalam tiga pembayaran. BERNAMA

ADS