Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rosmah minta nasihat ibu pelajar bijak matematik
Diterbitkan:  Aug 24, 2009 11:36 PM
Dikemaskini: 6:29 PM

Program Anak Permata Negara (PAPN) dan Kanak-kanak Pintar akan mendapatkan kerjasama daripada ibu kepada lima anak genius, Halimahton Yusof serta anaknya Iskander Ibrahim Farooq Yusuf, 23, bagi memperbaiki sukatan pelajaran bagi kedua-dua program berkenaan.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata pihaknya akan menggunakan khidmat nasihat serta segala maklumat yang dimiliki oleh ibu wanita genius Matematik, Sufiah Yusof, 24, bagi mengenalpasti modul dalam kandungan program berkenaan.

"Justeru kita akan mengadakan beberapa pertemuan bagi membincangkan perkara ini, saya juga telah meminta supaya Halimahton menggunakan pengalaman dan ilmu pengetahuan yang dimiliki beliau dan anaknya bagi membantu kami memperbaiki projek Permata Negara dan kanak-kanak pintar," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan bersama Halimahton di kediamannya di Jalan Langgak Duta di Kuala Lumpur hari ini.

Rosmah yang juga Penaung program Permata Negara dan Permata Pintar itu berkata program yang akan diterapkan nanti lebih berbentuk umum dan bukannya berbentuk matematik.

Beliau berkata antara pendekatan yang akan dikongsi Halimahton pada program berkenaan juga adalah mengenai kaedah pembelajaran yang terbaik pada anak-anak pintar.

Permata Negara merupakan satu program yang memberi tumpuan kepada penubuhan pendidikan awal dan pusat kanak-kanak di seluruh negara yang akan memupuk bakat semula jadi kanak-kanak bawah lima tahun.

Permata Pintar pula merupakan sekolah pertama di Malaysia untuk kanak-kanak istimewa, iaitu usahasama antara Universiti Kebangsaan Malaysia dan Centre for Talented Youth, John Hopkins University, Amerika Syarikat.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai seruan Halimahton yang masih menginginkan Sufiah pulang kembali ke pangkuannya, Rosmah melahirkan rasa simpati terhadap nasib wanita itu dan berharap agar semua ibu-ibu berdoa supaya Sufiah kembali ke pangkuan ibunya.

"Saya harap semua ibu akan sama-sama berdoa dengan apa yang diharapkan oleh Halimahton. Saya harap Halimahton akan bersabar dan berdoa supaya Sufiah akan kembali ke pangkuan ibunya dan ke pangkuan Islam," katanya.

Sufiah yang dianugerah kepintaran semula jadi sehingga berjaya memasuki Universiti Oxford pada usia 13 tahun, menggemparkan masyarakat apabila ditemui menawarkan khidmat seks melalui internet di Salford, Manchester.

Kisah kehidupan malang Sufiah itu disiarkan akhbar News Of The World pada 31 Mac tahun lalu. Bagaimanapun, Sufiah kini aktif menjalankan kerja amal dengan membantu kanak-kanak malang di London dan diberi perlindungan khas oleh Persatuan Masyarakat Melayu United Kingdom.

Halimahton yang berasal dari Muar, Johor, kembali ke tanah air bulan lalu, selepas 34 tahun menetap di London.

Halimahton yang sudah bercerai dengan suaminya, Farooq Yusuf, kini tinggal di Damansara bersama anaknya, Iskander dan Sabrina Zuleikha, 15. BERNAMA

ADS