Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Serah pada mahkamah isu Kartika: Tengku Mahkota
Diterbitkan:  Aug 26, 2009 10:46 AM
Dikemaskini: 3:10 AM

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meminta semua pihak agar bersabar dan menyerahkan kepada mahkamah untuk menyelesaikan isu hukuman sebat ke atas model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarnor.

Baginda yang juga yang dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Resam Pahang bertitah, keputusan menangguhkan hukuman tersebut perlu dihormati bagi membolehkan pihak mahkamah mencari penyelesaian sebaik mungkin dalam masa terdekat.

"Dengan berkat bulan Ramadan ini mungkin ia dapat diselesaikan," titah baginda selepas berbuka puasa bersama-sama penduduk dalam kawasan DUN Bukit Ibam di Kuantan semalam.

Baginda diminta mengulas mengenai kenyataan beberapa pihak termasuk pemimpin kerajaan berhubung penangguhan hukuman sebat

tersebut.

Kelmarin, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan Datuk Abdul Rahman Yunus mengarahkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) supaya menangguhkan hukuman sebat ke atas Kartika sempena menghormati kemuliaan Ramadan.

Kartika, 32, sepatutnya dibawa ke Penjara Wanita Kajang, Selangor kelmarin dari Ipoh, Perak bagi menjalani hukuman sebat kerana meminum arak tetapi ditangguhkan pada saat-saat akhir dengan alasan perintah tahanan terhadapnya tidak dapat dilaksanakan ketika ini.

Kartika didenda RM5,000 dan enam sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lepas kerana meminum arak di pusat hiburan di Cherating, pada 11 Julai tahun lepas. BERNAMA


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS