Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tee Keat nafi spekulasi letak jawatan
Diterbitkan:  Aug 30, 2009 9:38 PM
Dikemaskini: 1:41 PM

Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat tidak akan melayan sebarang khabar angin atau spekulasi bahawa beliau akan meletak jawatan seperti dilaporkan oleh lamanweb berita dalam talian hari ini.

Katanya MCA mempunyai agenda tersendiri untuk mengatasi masalah yang timbul dalam parti dengan menggunakan kebijaksanaan dan keazaman dan tidak akan respon kepada khabar angin atau pihak yang mencetuskan khabar-khabar angin.

"Jika anda tanya kepada saya mengenai khabar angin...tolong, saya tidak berminat untuk komen," katanya kepada pemberita selepas mengadakan dialog dengan pertubuhan dan persatuan Cina Pulau Pinang, lapor Bernama.

Ong, yang juga Menteri Pengangkutan, mengulas berita "Malaysian Insider" yang melaporkan spekulasi kuat ketika ini yang menyebut beliau bersedia meletak jawatan presiden parti itu.

Lamanweb berita itu juga menyebut akhbar utama berbahasa Cina melaporkan rancangan Ong untuk menyerahkan kuasa kepada naib presiden parti Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Laporan itu menyebut cadangan mengadakan pelan peralihan kuasa dengan Ong meredakan peningkatan sokongan untuk persidangan luar biasa (EGM) untuk menyingkirkannya dan menyokong timbalannya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

"Sejak kamu semua (wartawan) tahu lebih daripada saya, maka tidak guna untuk anda semua bertanyakan saya (mengenai spekulasi). Lebih-lebih lagi, khabar angin menjadi sebahagian daripada hidup kita," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan meletak jawatan parti, Ong menjawab: "Baru tadi saya berkata ianya khabar angin maka anda perlu memahaminya. Di manakah saya menyebut saya melakukan ini atau itu. Adalah saya dipetik sebagai berkata seperti itu," katanya.

Parti itu dilanda masalah dalaman apabila timbalan presiden Dr Chua dipecat Rabu lalu oleh Majlis Presiden MCA kerana cakera padat digital (DVD) skandal seks Dr Chua yang tersebar sebelum ini telah merosakkan imej parti.

Terdahulu itu, sekumpulan lebih 50 ahli parti mengadakan protes di luar hotel di mana majlis dialog itu diadakan dengan mengutuk keputusan pemecatan Dr Chua.

Sementara itu, Liow, yang turut hadir pada majlis itu, berkata beliau tidak mahu mengulas mengenai pelan peralihan kuasa seperti dilaporkan oleh media.

"Presiden telah memperjelaskannya," kata Liow, yang juga Menteri Kesihatan.

ADS