Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Guan Eng sedia bersemuka dengan Tsu Koon
Diterbitkan:  Aug 31, 2009 2:59 PM
Dikemaskini: Sep 1, 2009 4:48 AM

Ketua Menteri, Lim Guan Eng menerima cabaran Gerakan untuk berdebat berhubung pelbagai isu berikutan tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinannya yang dikatakan sering menyalahkan kerajaan negeri terdahulu, apabila timbul sesuatu masalah.

Bagaimanapun, Lim mahu Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon sendiri bersemuka dan berdebat dengannya bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan negeri ini.

Katanya, Koh yang merupakan bekas ketua menteri tidak perlu menghantar pemimpin atau anggota partinya bagi merealisasikan cabaran debat berkenaan, lapor Bernama.

"Kalau dia (Koh) berani berdepanlah dengan saya, jangan hanya menghantar proksi untuk berdebat.

"Saya mengalu-alukan sekiranya beliau mahu berdebat dan memberi jawapan ke atas segala persoalan yang dibangkitkan sejak pakatan pembangkang mengambil alih Pulau Pinang Mac tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas hadir pada perarakan Hari Kebangsaan peringkat negeri hari ini.

Turut hadir menyaksikan perarakan berkenaan ialah Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas dan Exco kerajaan negeri.

Koh, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dilaporkan berkata Gerakan bersedia berdebat dengan kerajaan Pulau Pinang berhubung pelbagai isu berikutan tindakan kepimpinan negeri itu yang sering menyalahkan kerajaan terdahulu apabila timbul sesuatu masalah.

Koh berkata pihaknya akan menghantar pemimpin dan anggota parti terutama di peringkat Pemuda Gerakan yang sentiasa bersedia untuk berdebat dan memberikan

fakta jelas.

Lim, yang juga setiausaha agung DAP, turut menetapkan syarat supaya debat yang dicadangkan Koh itu disiarkan secara langsung di televisyen bagi mengelak ia diputar belit media.

"Saya bersedia hadir sekiranya debat berkenaan disiarkan secara langsung. Kalau tiada, tidak guna kerana akan ada media memutar belit kenyataan serta fakta diberi," katanya.

ADS