Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Datuk Seri Hishammuddin Hussein mencabar majalah humor politik Gedung Kartun membawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) ke mahkamah jika tidak berpuas hati dengan tindakannya.

Menteri dalam negeri menegaskan, serbuan dan rampasan dibuat terhadap majalah itu, awal minggu lalu, kerana ia diterbitkan tanpa permit daripada kementeriannya.

"Sebab tidak ada lesen dan belum diberi permit. Dan melakukannya tanpa kelulusan, bercanggah dengan undang-undang sedia ada. Mereka kena jawab," katanya dalam sidang media di Putrajaya.

"Kalau mereka merasakan tindakan kita (KDN) salah daripada undang-undang, mereka berhak membawa KDN ke muka pengadilan."

Selasa lalu, pejabat majalah itu diserbu lapan pegawai kementerian dan 408 naskhah majalah dirampas.

Sehari kemudian, kilang percetakannya di Seri Kembangan, Serdang pula diserbu sekumpulan pegawai KDN dan 18 plet percetakan dirampas.

Tindakan itu dipercayai berkaitan kandungannya, antaranya memaparkan gelagat Datuk Seri Najib Razak yang tersilap mengibarkan bendera Mongolia bersempena sambutan hari kemerdekaan negara.

Isteri perdana menteri, Rosmah Mansor, pula digambarkan sebagai dalang yang menggerakkan wayang kulit berkepala suaminya, selain seorang yang menggunakan khidmat bomoh dan dilabelkan sebagai "Rosmoh."

Setebal 68 halaman, Gedung Kartun juga menggelarkan Najib sebagai "Datuk Nazak", dipercayai singkatan namanya dan bapanya Tun Abdul Razak Hussein.

Ketua editor majalah itu Zulkiflee Anwar Ulhaque semalam bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya ia diterbitkan tanpa permit penerbitan.

NONE Zulkiflee, atau lebih dikenali sebagai kartunis Zunar, menjelaskan pihaknya mematuhi semua syarat ketika memohon permit 30 Jun lalu.

Tambahnya, pada 3 Ogos lalu, seorang pegawai KDN memaklumkan bahawa permit Gedung Kartun telah diluluskan dan nombor siri permit itu telah diberi oleh pegawai kementerian sementara menunggu surat rasmi.

Diminta mengulas penjelasan majalah itu termasuk hasrat ingin bertemu beliau berhubung perkara tersebut, Hishammuddin berkata:

"OK. Biar dia jumpa dengan pagawai kita dulu, beri penjelasan kepada mereka. Biar saya dengar apa yang dia jelas. Kalau perlu jumpa, jumpa saya.

"Apa yang kita lakukan dalam kes ini tetapi mesti ada asasnya.

"Tetapi laporan yang saya terima, kandungannya tidak sesuai. Keduanya, tidak ada permit. Ketiganya, mereka belum mendapat kelulusan untuk menerbitkan majalah yang dimaksudkan tadi."

ADS