Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 6.23pm Pemimpin kesatuan wartawan Utusan Melayu (M) Bhd dipecat serta-merta hari ini selepas didapati bersalah menfitnah syarikat itu susulan aduannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Amran Ahmad, pengerusi Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) cawangan syarikat itu, didapati bersalah 20 Ogos lalu atas beberapa pertuduhan mencemarkan reputasi syarikat susulan tindakannya membangkitkan perbelanjaan kepada suruhanjaya tersebut.

Pertuduhan terhadapnya disandarkan pada kenyataannya selepas ke SPRM seperti dilaporkan Malaysiakini pada Jun lepas dan juga Harakahdaily , April lalu.

Pada 25 Jun lalu, ketua kesatuan wartawan akhbar Umno itu melaporkan perbelanjaan ubahsuaian satu pejabat biro sebanyak RM46,000 kepada suruhanjaya tersebut.

Sementara dua bulan sebelumnya, NUJ Utusan mengadu kos membeli dua set tiang gol dan jaring penghadang di sebuah kilangnya di Perai, Pulau Pinang yang didakwa "terlalu mahal" sebanyak RM160,000.

Dalam surat pemecatan yang ditandatangani pengurus besar syarikat itu, Nazlan Othman, Amran dilucutkan jawatan sebagai wartawan Utusan Malaysia berkuatkuasa 3 September.

Difahamkan, wartawan meja jenayah itu dibenarkan merayu dalam tempoh 14 hari selepas menerima surat berkenaan.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Amran berkata, beliau belum memutuskan tindakan lanjut, sama ada untuk mengemukakan rayuan atau tidak.

Selepas diputuskan bersalah, Amran bertegas tidak membuat sebarang rayuan kerana masih beranggapan dirinya tidak bersalah.

Beliau, yang berhasrat memanjangkan tindakan majikannya itu kepada Mahkamah Perusahaan, juga tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap majikannya.

Keputusan terhadapnya dihakimi tiga panel, diketuai Pengurus Besar Kumpulan Utusan, Adi Satria Ahmad.

Sepanjang prosiding tindakan tatatertib itu, Amran diwakili dua ahli majlis eksekutif kesatuan tersebut, Hata Wahari dan Hayat Suett.

Kesatuan itu mewakili hampir 300 ahli yang terdiri daripada wartawan, jurugambar dan artis grafik yang menjadi nadi jabatan pengarang akhbar-akhbar Utusan Malaysia , Mingguan Malaysia dan Kosmo! .

ADS