Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda cadang perintah tahan ISA tidak dibuat menteri
Diterbitkan:  Sep 4, 2009 12:38 PM
Dikemaskini: 9:44 AM

Pemuda Umno mencadangkan agar perintah penahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak dibuat oleh menteri dalam negeri seperti sekarang.

Sebaliknya, ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, perintah tahanan tersebut hendaklah dikaji oleh mahkamah atau satu badan berkecuali.

"Ini juga supaya menteri dalam negeri dilihat tidak membuat satu keputusan penahanan di bawah ISA berdasarkan kepentingan politik," katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas menghadiri majlis berbuka puasa anjuran pergerakan itu di Sekolah Anak Yatim Sultan Salahuddin di Pantai Kundur di Melaka malam tadi.

Khairy berpendapat sesiapa yang ditahan mengikut ISA boleh mendapat keadilan melalui satu mekanisme kehakiman yang dicadangkan itu.

Khairy diminta mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa pembentangan pindaan ISA dijadual dilakukan semasa sesi Dewan Rakyat Oktober ini tertakluk kepada input yang diterima.

Hishammuddin dilaporkan berkata kerajaan masih menerima cadangan daripada pelbagai pihak dan sedia memberi pertimbangan dari sudut kepentingan rakyat dan keselamatan negara dan hal sivil individu.

Khairy berkata Pemuda Umno akan menyerahkan satu memorandum kepada Hishammuddin minggu hadapan yang akan mengusulkan beberapa perkara yang perlu

dipinda.

"Kita juga akan mencadangkan supaya tempoh tahanan oleh polis selama 60 hari dipendekkan," katanya. BERNAMA

ADS